(Bahagian 2)

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang dijangka berlangsung dalam suasana politik yang semakin kompleks, dengan pelbagai parti tempatan dan nasional bersaing untuk menawan hati rakyat.
Di tengah-tengah landskap ini, pengundi muda muncul sebagai kumpulan penentu yang paling signifikan, mewakili hampir separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi.
Undi Muda: Penentu arah PRN Sabah
Salah satu blok pengundi yang paling signifikan dalam PRN akan datang ialah golongan muda, berumur antara 18 hingga 30 tahun dan 40-an.
Dengan hampir 50 peratus daripada keseluruhan pengundi tersebut, mereka membawa potensi besar dalam menentukan keputusan.
Namun, pengundi muda juga merupakan kelompok paling sukar dijangka. Mereka tidak terikat dengan kesetiaan parti tradisional, dan lebih cenderung menilai calon berdasarkan kualiti peribadi dan tawaran dasar.
Isu yang paling dekat dengan golongan ini termasuklah peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan dan ekonomi gig. Parti yang berjaya menguasai naratif digital dan mendekati mereka melalui media sosial dan kempen interaktif akan mempunyai kelebihan.
Dalam konteks ini, GRS dan Parti Warisan (Warisan) harus bersaing secara agresif dengan pendekatan yang lebih moden dan menyeluruh untuk menarik minat pengundi muda.
Politik personaliti dan etnik
Sabah merupakan negeri dengan kepelbagaian etnik yang sangat ketara – termasuk Kadazan-Dusun-Murut (KDM), Bajau, Suluk, Cina, dan lain-lain. Dalam politik Sabah, personaliti politik dan identiti sub-etnik kekal memainkan peranan utama.
Pemimpin seperti Shafie Apdal – Bajau/Suluk Semporna, Hajiji Noor – Bajau Kota Belut dan Jeffrey Kitingan – Kadazan Dusun, Bung Moktar etnik Sungai, Rudi Ubi Bugis-Suluk yang memiliki pengaruh yang jelas dalam kelompok masing-masing.

Kesetiaan etnik dan lokaliti masih menjadi pertimbangan penting bagi pengundi, terutamanya di kawasan luar bandar. Namun, terdapat perubahan perlahan apabila pengundi semakin mengutamakan prestasi calon dan dasar yang ditawarkan.
Ini membuka ruang kepada calon-calon yang mempunyai integriti dan pelan yang jelas untuk pembangunan kawasan mereka, tanpa bergantung semata-mata kepada latar belakang etnik.
Pertembungan parti tempatan lawan nasional
Satu lagi isu penting dalam PRN kali ini ialah sentimen antara parti tempatan dan parti nasional. Trend semasa menunjukkan bahawa pengundi semakin cenderung menyokong parti tempatan seperti GRS, Warisan, dan STAR yang dilihat lebih memahami realiti dan kehendak rakyat Sabah.
Parti nasional seperti UMNO, PKR dan DAP pula sering dikritik membawa agenda yang tidak sepenuhnya sesuai dengan konteks Sabah.
Namun begitu, kekuatan parti nasional tidak boleh dipandang remeh. Mereka masih memiliki struktur organisasi yang kukuh, kewangan stabil serta akses kepada jentera pusat.
Gabungan antara kekuatan lokal dan sumber nasional akan menjadi faktor penting dalam strategi sesetengah parti.
Perkembangan STAR, GRS: Ketidaktentuan dan pecahan undi
Keputusan parti STAR untuk keluar dari GRS telah menyebabkan berlakunya fragmentasi dalam blok kerajaan. Ini amat ketara di kawasan luar bandar yang didominasi oleh pengundi Kadazan Dusun.
Perpecahan ini berpotensi menyebabkan undi berpecah di antara STAR dan GRS, sekali gus memberi kelebihan kepada parti lain seperti Warisan dan UMNO di kerusi-kerusi marginal.

Namun, kehadiran lima ADUN STAR yang terus menyokong GRS menunjukkan bahawa tidak semua dalam STAR menyokong keputusan Jeffrey Kitingan.
Ini mewujudkan ketidaktentuan terhadap kekuatan sebenar STAR dalam PRN akan datang, dan membuka ruang kepada rundingan atau pakatan baharu selepas pilihan raya.
Bentuk parti baharu?
Sebuah blok politik baharu yang dinamakan GerakanBersatu Sabah (GBS) sedang dibentuk oleh Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Sabah Star) selepas mereka keluar dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Blok ini dijangka dirasmikan sebelum hari penamaan calon bagi PRN Sabah pada 15 November dan berhasrat bertanding di kesemua 73 kerusi, termasuk menentang bekas sekutu mereka.
GBS buat masa ini merupakan pakatan ‘ad hoc’ dengan Sabah Star sebagai parti paling dominan, manakala SAPP belum memenangi kerusi sejak sekian lama.
Rundingan juga sedang dijalankan dengan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serta beberapa parti kecil tempatan dan dari Sarawak untuk memperkukuh pakatan ini dan membentuk blok dominan Kadazandusun Murut.
Presiden Sabah Star, Jeffrey Kitingan, menyatakan hasrat GBS untuk menjadi kuasa utama dalam pembentukan kerajaan Sabah akan datang dan memberi keutamaan kepada kerjasama antara parti tempatan.
Adakah ini sekadar sebuah retorik? Sebab sudah terlalu banyak parti mendakwa mewakili isu tempatan akan tetapi pembangunan masih lagi perlahan.
Politik Solo lawan kerjasama sebagai penentu
Satu fenomena yang telah lama wujud dalam politik Sabah ialah kecondongan parti-parti untuk bergerak secara solo.
Walaupun ini mencerminkan keyakinan dan keunikan identiti masing-masing, ia juga meningkatkan risiko perpecahan undi yang memberi kelebihan kepada parti dengan pengaruh konsisten seperti UMNO.
Politik kolaboratif—seperti GRS dengan PH Sabah—berpotensi untuk membentuk majoriti yang lebih stabil.
Namun, keegoan pemimpin dan kekurangan kepercayaan antara parti-parti politik seringkali menjadi penghalang kepada pembentukan pakatan pra-pilihanraya yang tulen.
Peluang kerjasama UMNO, Warisan pasca-PRN
Walaupun dilihat sebagai dua musuh politik, kerjasama antara UMNO dan Warisan selepas PRN tidak boleh ditolak sepenuhnya.
Kedua-duanya kini berada dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, dan jika tiada parti yang memperoleh majoriti jelas dalam DUN, maka pakatan taktikal mungkin akan berlaku demi kestabilan negeri.
Namun, cabaran utama ialah penerimaan akar umbi. Ramai penyokong tegar UMNO melihat Warisan sebagai musuh ideologi, dan begitu juga sebaliknya.
Oleh itu, sebarang bentuk kerjasama perlu diurus dengan teliti dan diplomatik, agar tidak mencetuskan ketidakpuasan dalam kalangan penyokong.
Rumusan
Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang menyaksikan pertarungan utama antara GRS, Warisan, dan UMNO, dengan STAR memainkan peranan penentu di kawasan pedalaman.
Politik Sabah yang sentiasa dinamik dan tidak dapat dijangka berkemungkinan menghasilkan satu lagi kerajaan campuran pasca pilihan raya.
Keupayaan membentuk pakatan strategik, meyakinkan pengundi muda dan luar bandar serta menjaga integriti calon akan menjadi faktor penentu kemenangan.
Dalam negeri yang kaya dengan kepelbagaian dan sejarah perjuangan autonomi, PRN ini bukan sekadar tentang siapa memerintah – tetapi siapa yang benar-benar memahami dan mewakili aspirasi rakyat Sabah.
Juga, dijangka parti tempatan masing-masing berebut menggunakan keputusan Mahkamah Tinggi yang menetapkan Sabah berhak kepada 40 peratus hasil negeri untuk mendapatkan sokongan penduduk tempatan dan mendakwa perjuangan parti setempat.
Namun proses kehakiman masih ada ruang rayuan ke mahkamah rayuan sebagai bidang kuasa kehakiman.
Tindakan mengugut akan letak jawatan sebagai Menteri pusat seolah-olah memaksa campur tangan bidang kuasa kehakiman dan tindakan ini dapat dilihat sebagai tidak menghormati konsep pemisahan kuasa di antara bidang legislatif, eksekutif dan kehakiman.
Akan tetapi disebabkan ini merupakan modal besar untuk peroleh undi maka dijangka akan dijadikan manifesto pilihan raya oleh parti-parti politik di Sabah.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawiadalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)