
PETRA JAYA: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berakhir semalam mencerminkan kehendak dan hala tuju rakyat negeri itu sendiri tanpa dipengaruhi faktor luar.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata landskap politik Sabah adalah unik dan tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan Sarawak.
“Kita berbeza dengan Sabah. Sarawak adalah Sarawak.
“Sepanjang tempoh kempen PRN Sabah, jelas bahawa calon-calon dan parti yang bertanding memberi tumpuan kepada isu yang dekat dengan rakyat negeri itu.
“Sabah pun ada cara dia sendiri. Apa yang berlaku, saya percaya adalah kerana kehendak orang Sabah sendiri. Semasa kempen, mereka memang tumpu kepada ‘Sabah untuk Sabahan’,” katanya ketika ditemui media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan, Inovasi dan Bakat, berkata rakyat wajar menilai secara rasional hala tuju politik negeri masing-masing.
“Kita tengok jelas, tapi rakyat perlu tengok dengan jelas juga.
“Akhirnya, semuanya bergantung kepada rakyat untuk memahami apa yang berlaku. Itu politik,” katanya ringkas.
Oleh Masrin Affirah