
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini mengumumkan 41 calon parti itu, kebanyakannya muka baharu dan calon muda selain mengekalkan beberapa pemimpin berpengalaman untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata calon-calon yang dipilih mencerminkan sebuah tawaran menyeluruh untuk memastikan Sabah bergerak ke hadapan dengan lebih tersusun, makmur dan inklusif.
“BN Sabah yakin kesepaduan antara pemimpin berpengalaman dengan muka baharu serta calon muda berkelayakan tinggi akan memberi kelebihan besar untuk membawa Sabah menuju masa hadapan yang lebih cerah dan berdaya saing,” katanya ketika mengumumkan senarai calon BN untuk PRN ke-17 di sini hari ini.
Bagaimanapun, Bung Moktar berkata calon yang diumumkan hari ini bukanlah muktamad, sebaliknya tertakluk kepada perkembangan semasa dan beberapa lagi nama akan diumumkan kemudian.
Beliau berkata barisan calon yang diketengahkan juga diperkukuh dengan tahap pendidikan yang tinggi, majoritinya mempunyai ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah dengan dua antaranya ialah doktor perubatan.
Bung Moktar berkata pemilihan itu membuktikan bahawa calon-calon yang ditawarkan bukan sahaja berpengalaman, tetapi juga berkualiti dari segi intelektual dan profesional, malah mampu menerajui agenda ekonomi, teknologi serta pembangunan sosial negeri dengan lebih kompeten dan berwibawa
“Barisan calon ini akan membawa komitmen berterusan BN untuk memacu pembangunan Sabah bermula dengan membangunkan luar bandar dan infrastruktur, membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat serta memperkasakan sistem pendidikan dan modal insan. Ia selari dalam semangat untuk terus menjamin kesaksamaan wilayah selaras dengan roh MA63,” katanya.
Pengumuman hari ini menyaksikan lima penyandang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, iaitu Datuk Harun Durabi (Bengkoka), Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (Usukan), Datuk Yakub Khan (Karambunai), Datuk Jafry Ariffin (Sukau) selain Bung Moktar di Lamag.
Sementara itu, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan serta Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk SeriArthur Joseph Kurup akan bertanding kerusi DUN buat kali pertama, masing-masing di Tempasuk dan Sook.
Datuk Mohamad Alamin yang juga Timbalan Menteri Luar pula akan bertanding semula di DUN Bongawan selepas tewas pada 2018 manakala bekas pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Bolkiah Ismail dinamakan calon kerusi Pitas.
Berikut senarai calon BN pada PRN Sabah ke-17 yang diumumkan hari ini:
N1 Banggi Normalah Rasik
N2 Bengkoka Datuk Harun Durabi
N3 Pitas Datuk Bolkiah Ismail
N4 Tanjung Kapur Kevin Lee Sip Kin
N8 Pintasan Tadzul Radim
N9 Tempasuk Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
N10 Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
N12 Sulaman Dr Shahnon Rizal Thaijuddin
Ν13 Pantai Dalit Alfian Sambas
N16 Karambunai Datuk Yakub Khan
N17 Darau Arfansyah Abdul Gafar
N24 Tanjung Keramat Jeffery Noor Mohamed
N28 Kawang Datuk Jamal Norubit
N29 Pantai Manis Redzuan Ismail
N30 Bongawan Datuk Mohamad Alamin
N31 Membakut Rusman Dulamit
N32 Klias Osin Jilon
N33 Kuala Penyu Datuk Awang Aslee Laka
N34 Lumadan Datuk Mohd Nazri Abdullah
N36 Kundasang Japirin Sahadi
N37 Karanaan Nadzmin Kamin
N38 Paginatan Datuk Jemadi @ Junaidi Sahat
N41 Liawan Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi
N45 Sook Datuk Seri Arthur Joseph Kurup
N46 Nabawan Laiji Ompongoh
N47 Telupid Benedict Asmat
N48 Sugut Mohammad Arifin Pachuk
N49 Labuk Yusuf Latif
N51 Sungai Manila Zaini Tiksun
N52 Sungai Sibuga Datuk Suhaimi Nasir
N53 Sekong Mohd Zharif Aizat Samsuddin
N58 Lamag Datuk Seri Bung Moktar Radin
N59 Sukau Datuk Jafry Ariffin
N60 Tungku Saleha Wahid
N62 Silam Sharif Musa Sharif Mabul
N63 Kunak Datuk Seri Anil Jeet Sing
N66 Bugaya Abdul Manan Indanan
N67 Balung Erwan Palateh
N68 Apas Dr Elmiariezan Ardan
N71 Tanjung Batu Samasuddin Yusop
N73 Sebatik Aslan Fadli Samsul Alang
Dalam sidang media kemudian, Bung Moktar berkata BN Sabah akan mengumumkan lima hingga enam kerusi lagi, yang disifatkannya sebagai ‘kerusi istimewa’ dengan calon diketengahkan ialah muka baharu dan anak muda sebagai sebahagian strategi parti.
Bung Moktar berkata beliau berpuas hati kerana BN Sabah diberi 47 kerusi dan memberi jaminan tidak akan berlaku pertembungan antara parti itu dengan Pakatan Harapan pada pilihan raya berkenaan.
Mengulas mengenai pencalonan Abdul Rahman di DUN Tempasuk, beliau menjelaskan bekas menteri itu mempunyai kelebihan kerana pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud.
Selain itu, BN Sabah mengambil langkah berani menampilkan 85 peratus calon muka baharu termasuk anak muda profesional bagi membuktikan parti itu bersedia membuat perubahan signifikan dalam aspek pembangunan seterusnya mengeluarkan Sabah daripada kepompong kemiskinan.
Langkah itu juga manifestasi untuk memberi peluang kepada kepimpinan muda berganding bahu bersama pemimpin berpengalaman parti, selain memastikan BN seiring dengan tuntutan anak muda berikutan 65 peratus daripada jumlah pengundi di Sabah terdiri dalam kalangan belia.
“Kita beri mereka peluang dan platform untuk bertanding, selepas itu mereka boleh memainkan peranan sebagai wakil rakyat (sekiranya dipilih) untuk membuat dasar bersama demi pembangunan negeri,” katanya.- Bernama