PRN NS: Pimpinan utama politik hadapi saingan, tiada laluan mudah

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SEREMBAN: Beberapa pimpinan politik parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 berdepan saingan, sekali gus menyaksikan tiada calon diberikan laluan mudah.

Baik Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mahupun Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias, kesemua mereka mempunyai pencabar masing-masing.

Aminuddin yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan dan Naib Presiden PKR berdepan pertandingan tiga penjuru yang turut membabitkan penyandang kerusi berkenaan Datuk Mohd Faizal Ramli dan calon Bersatu Datuk Zamri Md Said di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi.

Di DUN Chennah yang menjadi kubu kuat Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang juga Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook sejak 2013 pula dicabar Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan Siow Kong Choon yang mewakili BN.

Bagi DUN Rantau yang menjadi kubu kuat Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO sejak 2004, beliau berdepan tentangan daripada calon PH Dr Azizul Hakim Mahdi.

Selain itu, tumpuan turut terarah kepada pertembungan tiga penjuru di DUN Pertang membabitkan penyandangnya Jalaluddin, Mohd Umry Abdul Khois (PH) dan Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus (Bersatu).

Jalaluddin menyandang kerusi berkenaan sejak 2013.

Turut mencuri tumpuan ialah pertembungan lima penjuru di DUN Nilai apabila Naib Pengerusi DAP Kebangsaan yang juga penyandang kerusi itu J. Arul Kumar (PH) dicabar empat calon, iaitu Datuk Lai Chien Kong (BN), Datuk V. Saravana Kumar (Bersatu), Zamani Ibrahim (Berjasa) dan calon Bebas Omar Mohd Isa.

DUN Sri Tanjung turut menyaksikan pertembungan lima penjuru apabila penyandangnya Dr G. Rajassekaran daripada PH dicabar calon BN A. Achutan dan calon muka baharu Leevineshwaraan Murugan (Bersatu) serta dua calon bebas Saravanan Arumugam dan Islah Wahyudi Zainudin pada PRN kali ini.

Selepas berakhirnya proses penamaan di lapan pusat penamaan calon (PPC) pada 10 pagi tadi, bermulalah tempoh berkempen selama 14 hari sehingga 11.59 malam, 31 Julai ini. 

PRN kali ini menyaksikan sebanyak 103 calon disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN, dengan PH mendominasi saingan apabila menampilkan 36 calon, diikuti BN (25 calon), Bersatu (24 calon) dan Perikatan Nasional (PN) 11 calon. 

PRN turut dimeriahkan dengan penyertaan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang masing-masing mempertaruhkan seorang wakil, selain empat calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Julai sebagai hari pengundian awal manakala 1 Ogos pula hari mengundi.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9. – Bernama