PRN Negeri Sembilan: Penolakan terhadap PH atau kejayaan politik penyatuan undi?

Facebook
WhatsApp

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan memperlihatkan perubahan politik yang besar apabila Barisan Nasiona (BN) memenangi 18 kerusi, Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) merosot daripada 17 kerusi kepada hanya 11 kerusi.

Dengan penguasaan bersama sebanyak 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN dan PN bukan sahaja berjaya menamatkan dua penggal pemerintahan PH, malah memperoleh majoriti melebihi dua pertiga.

Namun, kemenangan ini tidak wajar ditafsirkan secara simplistik sebagai penolakan mutlak rakyat terhadap PH. Ia merupakan hasil gabungan beberapa faktor, termasuk ketidakpuasan terhadap pentadbiran negeri, pengukuhan semula jentera BN, pemindahan undi antara parti, kelemahan strategi PH dan keberkesanan persefahaman pilihan raya BN-PN.

PH masih popular?

PH masih memperoleh kira-kira 40.2 peratus undi popular negeri, lebih tinggi berbanding BN yang memperoleh sekitar 35.6 peratus. Ini menunjukkan bahawa PH masih mempunyai asas sokongan yang besar.

Masalahnya ialah undi PH terlalu tertumpu di kawasan tertentu dan tidak diterjemahkan secara cekap kepada kemenangan kerusi. Sebaliknya, gabungan undi BN dan PN melebihi separuh daripada keseluruhan undi.

Persefahaman mereka berjaya mengelakkan pertembungan sesama sendiri yang sebelum ini memecahkan undi Melayu. Kemenangan tersebut dengan demikian lebih tepat dibaca sebagai kejayaan menguruskan matematik pilihan raya daripada sekadar gelombang penolakan menyeluruh terhadap PH.

KEKALAHAN Aminuddin dengan majoriti 2,976 undi menunjukkan bahawa rekod sebagai Menteri Besar dan kedudukan sebagai pengerusi PH negeri tidak mencukupi untuk mengatasi kekuatan tempatan BN.

Kelebihan BN dan PN

BN memasuki pilihan raya dengan kelebihan jentera akar umbi yang telah dibina selama puluhan tahun. Hubungan dengan pemimpin tempatan, rangkaian cawangan, keupayaan mengenal pasti pengundi dan tradisi khidmat kawasan masih memberikan BN kelebihan ketara di kawasan luar bandar dan separa bandar.

PN pula menawarkan tenaga tambahan melalui mobilisasi pengundi Melayu konservatif dan mereka yang mahu memberikan undi protes kepada PH.

Dalam kerusi yang ditandingi BN, sokongan pengundi PN membantu mengukuhkan calon BN. Dalam kerusi yang ditandingi PN, jentera dan penyokong BN pula tidak lagi menjadi penghalang kepada kemenangan pembangkang terhadap PH.

Kejayaan tersebut membuktikan bahawa apabila undi Melayu tidak terpecah, PH menghadapi kesukaran besar di kerusi campuran dan separa bandar. PH tidak kehilangan semua penyokongnya, tetapi kehilangan undi yang cukup untuk tumbang di kerusi strategik.

Kekalahan tokoh utama PH

Kekalahan dua tokoh utama PH, iaitu Anthony Loke di Chennah dan Aminuddin Harun di Linggi, menjadi simbol paling jelas terhadap kelemahan tersebut.

KEKALAHAN Anthony Loke dengan majoriti 688 undi pula memberi kesan psikologi lebih besar

Kekalahan Aminuddin dengan majoriti 2,976 undi menunjukkan bahawa rekod sebagai Menteri Besar dan kedudukan sebagai pengerusi PH negeri tidak mencukupi untuk mengatasi kekuatan tempatan BN.

Keputusannya meninggalkan Sikamat, kawasan yang diwakilinya selama beberapa penggal, untuk bertanding di Linggi merupakan perjudian politik besar. Langkah itu mungkin bertujuan memperluas pengaruh PH, tetapi akhirnya mendedahkan Aminuddin kepada medan yang lebih sukar dan jentera lawan yang lebih kukuh.

Kekalahan Anthony Loke dengan majoriti 688 undi pula memberi kesan psikologi lebih besar. Sebagai setiausaha agung DAP dan penyandang Chennah sejak 2013, beliau dianggap antara pemimpin nasional yang paling sukar ditewaskan.

Kekalahannya menunjukkan bahawa nama besar dan kedudukan dalam Kerajaan Pusat tidak lagi menjamin kemenangan sekiranya sentimen setempat, pemindahan undi dan mobilisasi pengundi tidak memihak kepada seseorang calon.Namun, tanggungjawab terhadap kekalahan PH tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada kedua-dua tokoh ini.

Kelemahan PH

Kepimpinan negeri perlu menjawab kelemahan pemilihan calon, koordinasi kempen, penilaian sentimen pengundi dan keupayaan cawangan tempatan. Kepimpinan pusat pula perlu meneliti tahap isu kos sara hidup, kadar pelaksanaan reformasi dan kekeliruan mengenai kedudukan PH dalam Kerajaan Perpaduan mempengaruhi pengundi.

PH dan BN bekerjasama di peringkat Persekutuan, tetapi bertanding sebagai lawan di negeri. Pada masa sama, BN boleh bekerjasama dengan PN dalam pilihan raya negeri.

Keadaan ini menimbulkan kekeliruan tentang identiti dan hala tuju PH. Pengundi mungkin tertanya-tanya akan BN yang dianggap rakan di Putrajaya tetapi musuh di Seremban, sedangkan BN dan PN boleh membentuk satu pakatan pilihan raya yang lebih jelas.

Dalam konteks ini, tuntutan supaya Anthony Loke atau Aminuddin meletakkan jawatan perlu ditangani secara matang. Akauntabiliti tidak semestinya berakhir dengan pengunduran segera. Pengunduran simbolik tanpa pembaharuan organisasi tidak akan menyelesaikan kelemahan sebenar.

Sebaliknya, mereka perlu memimpin bedah siasat yang telus, mengakui kesilapan strategi dan membenarkan kedudukan masing-masing dinilai melalui proses dalaman parti. Akauntabiliti bermakna perubahan terhadap struktur kepimpinan, jentera, komunikasi politik, pemilihan calon dan hubungan dengan akar umbi.

Kemenangan MCA

Kemenangan MCA di Chennah dan Repah turut menimbulkan persoalan sama ada pengundi Cina mula meninggalkan DAP. Dua kemenangan tersebut sememangnya penting kerana MCA berjaya menewaskan dua penyandang DAP dan kembali ke DUN Negeri Sembilan selepas lama tersisih.

Namun, terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa berlaku peralihan besar-besaran pengundi Cina kepada MCA. Majoriti kemenangan di Repah hanya 444 undi, manakala kemenangan di Chennah juga agak tipis.

Kerusi seperti Chennah mempunyai komposisi pengundi bercampur, dan kemenangan MCA mungkin lebih banyak disumbangkan oleh pemindahan undi Melayu daripada BN-PN, di samping sedikit peningkatan sokongan pengundi Cina.

Analisis kemerosotan

Kemerosotan sokongan terhadap DAP juga mungkin berlaku dalam bentuk ketidakhadiran pengundi, bukannya perpindahan terus kepada MCA. Pengundi tradisional DAP yang kecewa mungkin memilih untuk tidak keluar mengundi. Dalam pertandingan yang sengit, penurunan kecil kadar keluar mengundi boleh mengubah keputusan.

Oleh itu, data saluran mengundi perlu dianalisis sebelum kesimpulan besar dibuat. Namun begitu, DAP tidak boleh menafikan bahawa parti itu berdepan masalah keyakinan. Kekalahan di Johor diikuti kehilangan kerusi penting di Negeri Sembilan menunjukkan bahawa sokongan bukan Melayu tidak lagi boleh dianggap sebagai simpanan tetap.

Bagi PH, keputusan ini merupakan amaran serius menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16. Selepas kalah teruk di Johor, PH kini kehilangan Negeri Sembilan yang diperintah selama dua penggal.

Corak ini memperlihatkan kelemahan dalam menembusi kawasan Melayu, luar bandar dan separa bandar serta kegagalan menukarkan kelebihan sebagai Kerajaan Persekutuan kepada keghairahan pengundi.

PH perlu menilai sama ada agenda reformasi masih difahami dan dirasakan oleh rakyat. Sekiranya pengundi lebih terkesan oleh harga barang, pendapatan dan kos kehidupan, retorik pembaharuan institusi semata-mata tidak memadai. Parti itu perlu menghubungkan reformasi dengan kehidupan seharian rakyat.

PH juga terlalu bergantung pada tokoh nasional dan kempen berskala besar, sedangkan kemenangan pilihan raya ditentukan oleh hubungan harian dengan pengundi. Jentera akar umbi, perkhidmatan kawasan dan kehadiran pemimpin tempatan tidak boleh dibina hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya.

Hala tuju dan masa depan

Walaupun demikian, keputusan negeri tidak semestinya menjadi ramalan tepat bagi PRU16. Pilihan raya umum melibatkan persoalan calon Perdana Menteri, hala tuju kerajaan nasional, calon Parlimen dan kadar keluar mengundi yang berbeza.

PH masih memiliki asas undi besar dan berpotensi pulih sekiranya mampu melakukan pembetulan segera.

Dalam soal pembentukan kerajaan negeri, BN mempunyai tuntutan paling kuat untuk memimpin kerana menguasai 18 kerusi. Namun, jumlah itu masih kurang satu kerusi daripada majoriti mudah. Sokongan tujuh ADUN PN memberikan kerajaan BN-PN majoriti selesa, tetapi juga memberikan PN kuasa tawar-menawar.

PN berkemungkinan menuntut peranan dalam pentadbiran negeri, jawatan tertentu dan pengaruh terhadap dasar. BN pula perlu memastikan bahawa kerjasama itu tidak menyebabkan identiti serta kedudukan dominannya terhakis.

Kuasa tawar-menawar

Di peringkat nasional, kemenangan Negeri Sembilan mengukuhkan kuasa tawar-menawar BN. BN kini boleh menunjukkan kepada PH bahawa ia mempunyai pilihan alternatif melalui kerjasama dengan PN.

Pada masa sama, PN boleh berhujah bahawa penyatuan undi Melayu merupakan formula paling berkesan untuk menewaskan PH.

Namun, formula Negeri Sembilan tidak semestinya mudah dipindahkan ke peringkat nasional. Persoalan calon Perdana Menteri, pembahagian kerusi Parlimen dan perebutan kawasan tradisi antara UMNO, PAS dan Bersatu jauh lebih rumit.

Akhirnya, keputusan Negeri Sembilan bukan sekadar kemenangan BN-PN atau kekalahan PH. Ia merupakan peringatan bahawa dalam politik berpecah, kejelasan pakatan, kekuatan akar umbi dan kecekapan memindahkan undi boleh menjadi lebih penting daripada jumlah undi popular semata-mata.

Rumusan

PH masih mempunyai sokongan, tetapi kehilangan keupayaan mengubahnya menjadi kuasa. BN kembali kuat, tetapi masih bergantung pada PN untuk majoriti. PN pula semakin berpengaruh, tetapi belum mampu memimpin kerajaan negeri tanpa BN.

Semua parti kini berdepan ujian sama, iaitu sama ada mereka mahu membaca keputusan ini sebagai alasan untuk meraikan kemenangan dan mencari kambing hitam, atau menggunakannya untuk membina politik yang lebih jelas, bertanggungjawab dan berorientasikan kepentingan rakyat.

Perjalanan politik masih panjang dan penuh dengan dinamika. Bergantung kepada cara dan pendekatan mereka meneliti dan bergerak ke depan daripada situasi real politik semasa ini.

Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara  dan  Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.

Sejarah penduduk Kuching

PADA hari ini, Kuching dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum. Kepelbagaian kaum ini bukan sahaja tidak menghalang perkembangan bandar raya tersebut,