PRN Melaka ditetapkan pada 14 November, penamaan calon 31 Oktober – Pengerusi SPR

Facebook
WhatsApp
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun (tengah) pada Sidang Media Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom (empat, kanan) dan Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus (empat, kiri). SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Melaka ke-16 pada 14 November ini. Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 31 Oktober, manakala tarikh pengundian awal pada 10 November, dengan tempoh berkempen ialah selama 14 hari. Foto BERNAMA

MELAKA, 7 Oktober: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 November ini, kata Pengerusinya Datuk Seri Ramlan Harun.

Ramlan berkata tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 31 Oktober, manakala tarikh pengundian awal pada 10 November, dengan tempoh berkempen ialah selama 14 hari. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan serta tarikh-tarikh penting PRN Melaka di sini, hari ini.

Mengenai Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan pada PRN Melaka ke-16, Ramlan berkata sebanyak 687,697 pemilih yang terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 tentera dan pasangan serta 2,762 polis layak mengundi pada PRN itu. 

“Bagi urusan undi pos, permohonan kategori dalam dan luar negara untuk PRN Melaka telah dibuka sejak 23 September lepas dan tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1A, iaitu petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota tentera dan media ditetapkan pada 28 Oktober.

“Bagi Kategori 1B, iaitu warganegara Malaysia di luar negara dan 1C melibatkan agensi atau organisasi, tarikh tutup pula adalah pada 23 Okt,” katanya.

Ramlan berkata SPR melantik 28 Pegawai Pengurus
Pilihan Raya dan dibantu oleh 80 Penolong Pegawai Pengurus. 

Beliau berkata bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 28 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

“Sebanyak 28 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan dalam pilihan raya pada kali ini, manakala 11,175 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses tersebut.

“Sejumlah 271 Pusat Mengundi dengan 1,263 saluran dibuka melibatkan 31 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 50 tempat saluran awal dan 240 pusat mengundi biasa yang mengandungi 1,213 saluran,” katanya sambil menambah peruntukan bagi melaksanakan PRN Melaka dianggarkan RM28.45 juta.

Beliau berkata SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat penjalanan proses PRN Melaka bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di PPC, pusat-pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan PPRU serta perlu mematuhi kesemua syarat pelantikan yang telah ditetapkan oleh SPR.

“Maklumat lanjut dan borang permohonan berkaitan pemerhati pilihan raya boleh diperoleh melalui Portal SPR www.spr.gov.my mulai hari ini dan tarikh tutup permohonan pada 21 Oktober. – Bernama