PILIHAN Raya Negeri (PRN) di enam negeri merupakan pilihan raya yang pertama melibatkan negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Dengan tempoh kempen dua minggu dan tarikh mengundi pada 12 Ogos depan melibatkan 9.77 pengundi bagi memilih wakil rakyat di 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ini merupakan suatu pertandingan bagi menguji populariti di antara PH/BN dan PN.
Kerajaan Perpaduan sudah mencecah lapan bulan pemerintahan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdapat beberapa perkara yang perlu difahami dalam konteks PRN ini.
Yang pertama, PRN ini bukan medan untuk pemilihan Perdana Menteri.
Ia juga bukan medan untuk memilih Presiden Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
Hal ini kerana PRN ini adalah mengkhusus di peringkat negeri dan lebih memilih parti mana yang perlu menang dan layak menjadi Ketua Menteri dan Menteri Besar.
Jadi, isu yang perlu difokuskan ialah sejauh mana prestasi kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti di bawah PN dan PH.
Prestasi ekonomi
Aspek ini sepatutnya dinilai secara kritis oleh pengundi di kawasan tersebut.
Sekiranya mengikut prestasi beberapa negeri dari segi prestasi ekonomi, negeri yang mencatatkan pertumbuhan mengatasi 8.7 peratus ialah Pulau Pinang (13.1 peratus), Selangor (11.9 peratus), Pahang (10.9 peratus) dan Kuala Lumpur (9.2 peratus), Kedah (7.2 peratus), Negeri Sembilan (6.6 peratus), Terengganu (5.9 peratus) dan Kelantan (4.3 peratus).
Sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor pula ialah sebanyak 25.5 peratus iaitu penyumbang KDNK terbesar negara, jauh meninggalkan negeri lain seperti Kedah, Kelantan, Terengganu.
Berdasarkan statistik, kadar kemiskinan mutlak (2019) di negeri PRN iaitu di Kedah (8.8 peratus), Kelantan (12.4 peratus), Terengganu (6.1 peratus), Negeri Sembilan (4.3 peratus), Pulau Pinang (1.9 peratus) dan Selangor (1.2 peratus).
Statistik tersebut memberikan pelbagai aspek dimensi sosioekonomi dan politik.
Yang pertama, ialah pembangunan di negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu kurang rancak.
Yang kedua, penghijrahan ke negeri maju merupakan satu pola penting.
Yang ketiga, kelompok Melayu golongan petani, kelas pekerja merupakan kelompok terbesar di negeri majoriti berpenduduk Melayu.
Mereka kemudian menjadi pengundi berasal dari BN, kemudian berpindah kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Budaya politik
Sudah pasti perbezaan status ekonomi ini membentuk budaya politik yang tersendiri.
Di negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu merupakan negeri majoriti Melayu yang ramai kalangan petani dan kelas pekerja.
Golongan ini ramai menempatkan pendidikan awal anak-anak mereka di Tadika PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam) yang menjadi pusat awal pendedahan mengenai Islam.
PASTI adalah apparatus pengenalan kepada PAS kerana di belakang PASTI adalah milikan parti PAS.
Corak pendidikan ini lama-kelamaan mempengaruhi pemikiran politik mereka dari segi jangka panjang.
Kekuatan PAS terletak kepada pelaburan pendidikan terhadap pendidikan awal ini.
Berbanding Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang terletak di kawasan bandar dan maju, budaya politik yang terbentuk juga berbeza.
Pendedahan pendidikan nasional dan juga pendidikan aliran Cina, corak politik juga terpancar dalam gerakan politik semasa dalam penyertaan dalam politik Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), UMNO dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Pembawaan budaya politik lebih moderat walaupun DAP pernah bersikap kanan kiri namun kini sudah disesuaikan dengan pendekatan politik moderat sesuai dengan persetujuan apabila berlakunya kerjasama di antara UMNO/BN dengan PH.
Kecenderungan pengundi
PRN nanti akan membayangkan penilaian dan kemahuan rakyat terhadap politik negeri.
Misalnya di Selangor, Pulau Pinang dan Pulau Pinang, kepuasan terhadap prestasi terhadap kerajaan negeri akan mempengaruhi pengundi untuk mengekalkan ketiga-tiga negeri tersebut di bawah PH.
Banyak inisiatif kerajaan dilaksanakan dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat diberi perhatian.
Hal ini sesuai dengan kemampuan kerajaan negeri yang mempunyai prestasi pentadbiran dan sumber pendapatan negeri yang baik.
Justeru dijangka, PH akan dapat mengekalkan kerajaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Di negeri tersebut tidak ada isu besar yang boleh mengugat kedudukan PH.
Namun, PN mahu memperluaskan pengaruh di ketiga-tiga negeri ini. Cuma apabila tidak ada contoh pembangunan berprestasi tinggi yang boleh dibawa oleh kepemimpinan PAS yang merupakan majoriti besar dalam PN, adalah sukar untuk menembusi kubu kuat PH di tiga negeri ini.
Gelombang surut
Pada PRU ke-15, PN berjaya memenangi banyak kerusi, namun gagal membentuk kerajaan. Sejak itu, PN mendakwa akan dapat membentuk kerajaan dan mempunyai jumlah yang mencukupi meskipun sehingga kini tidak pernah dibentangkan di Dewan Rakyat, sejak tewas undi percaya buat pertama kali di Dewan Rakyat.
Imej bersih yang digunakan sebagai slogan PN kini tidak dapat digunakan lagi apabila pemimpin-pemimpin PN kini menjadi kluster mahkamah termasuk pengerusi PN sendiri iaitu Muhiyiddin Yassin.
Hakikatnya kini, Kerajaan Persekutuan di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sudah pasti mempunyai kelebihan besar berbanding ketika PRU-15, Perdana Menteri dari UMNO yang lebih mesra Perikatan Nasional hingga pernah mengadakan perjanjian sulit dengan Muhiyiddin Yassin.
Dana pilihan raya parti Bersatu bukan sahaja dibekukan, malah dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sudah pasti, situasi ini berbeza dengan situasi PRU-15 yang PN dilihat mewah dari segi perbelanjaan kempen pilihan raya termasuk kempen media sosial.
Kedudukan PN
Yang pasti, PH dan UMNO kini banyak tertumpu di Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Rapat umum dan kempen untuk menembusi kawasan PN di negeri tersebut sedang giat dijalankan.
Dalam konteks ini, PN perlu lebih risau kedudukan mereka di kubu kuat mereka akibat situasi masa kini kurang memihak kepada PN.
Namun PN, dilihat masih lagi kempen bermain isu berlegar agama, etnik dan Raja termasuk isu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai Sultan Selangor.
Kedudukan PN di Kedah misalnya tidaklah terlalu kukuh kerana Kedah mempunyai rekod kerajaan bertukar ganti.
Begitu juga di Terengganu kecuali Kelantan.
Berdasarkan sentimen ini, dijangka PH dan BN akan meningkatkan kerusi di Kedah, Kelantan dan Terengganu dan jika dapat menumbangkan PN di Kedah adalah satu bonus besar.
Penentu kemenangan
Penentu kepada parti mana yang akan memenangi PRN ini akan ditentukan oleh pengundi bawah umur 40 tahun yang mewakili lebih 40 peratus dan pengundi Melayu terutama di kawasan konservatif Melayu sama ada mereka mahu menerima kerjasama PH dan BN atau sebaliknya.
Jika PH menunjukkan peningkatan besar dalam PRN ini, gelombang PN akan semakin perlahan dan Kerajaan Perpaduan semakin kukuh di Putrajaya dan peringkat negeri.
Ini juga menandakan kepemimpinan Anwar semakin popular dan diterima, Malaysia Madani dijangka mampu mendapat sambutan ramai.
Maka, pembangunan negeri dan negara dapat lebih diberikan perhatian serta mampu meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara.
Kedudukan UMNO juga akan semakin mantap manakala PN akan hilang magis dan ramai ahli mereka terutama dari Bersatu akan keluar parti secara perlahan-lahan.
Jika keterbalikan berlaku, maka akan beri kesan negatif kepada UMNO dan pimpinannya.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)