PILIHAN Raya Negeri ke-15 (PRN-15) Johor, telah berlalu dan keputusan rasmi telah diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh. Daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, Barisan Nasional memenangi 40 kerusi melalui UMNO (33 kerusi), MCA (4) dan MIC (3), manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 11 kerusi, Perikatan Nasional (3) kerusi, di samping Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Muda, masing-masing memenangi satu kerusi.
SPR dalam kenyataannya memaklumkan bahawa peratusan yang keluar mengundi pada PRN-15 Johor adalah sebanyak 54.92 peratus atau 1,426,573 orang yang meliputi pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos. Peratusan yang sememangnya amat rendah bagi pilihan raya yang semasa tempoh kempennya, menampilkan warna-warni kekecohan serta pertikaman lidah antara ahli parti-parti yang bertanding.
Amira Aisya Abd Aziz, mungkin nama baharu dalam PRN-15 Johor, namun, beliau telah mencipta sejarah apabila menjadi calon Muda pertama memenangi kerusi pada pilihan raya ini melalui kejayaannya menawan kerusi DUN Puteri Wangsa yang dianggap sebagai kerusi “panas”. Suatu perkara yang menarik untuk diberikan perhatian adalah, jumlah undi majoriti yang diperoleh, iaitu 7,114 undi, suatu angka yang besar bagi “pendatang baharu” dari kalangan generasi muda.
Sedang perhatian terlaras pada kemenangan BN yang diwakili tiga buah parti komponen, tanda dan petanda awal kebangkitan golongan muda perlu diberikan perhatian dan diterjemahkan sebagai suatu lantunan aspirasi yang bakal mencorak wajah politik negara pada masa hadapan. Dengan penglibatan pengundi remaja 18 tahun ke atas, sudah pasti gelanggang politik semakin terbuka luas. Hal yang wajar dikhuatiri dan dibimbangi oleh parti-parti yang dikatakan lebih “established” atau mapan seperti UMNO, MCA, MIC, DAP, PKR, PAS, PN dan PH. Agenda perjuangan serta media capaian golongan ini sudah pasti jauh berbeza dengan apa-apa yang digembar-gemburkan dan diguna pakai oleh kalangan ahli politik yang masih terikat dengan manifesto zaman alif ba, di samping kaedah berpolitik yang bersifat monotonous serta membosankan.
Lantaran, keupayaan Amira Aisya menembusi halangan pertama dalam cubaan pertama, berupa suatu ‘siren amaran’ buat parti-parti lain, untuk membuat penilaian semula hala tuju serta kaedah berpolitik pada masa hadapan bagi menyantuni jiwa serta aspirasi golongan muda. Tidak hairan sekiranya, pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang, akan tercatit suatu kejutan dalam sejarah politik negara. Lantaran itu, mana-mana parti politik yang mapan, tidak harus mendabik dada dan berasa selesa dengan kejayaan yang diraih ketika ini. Akan tetapi, membuat suatu penilaian yang mendalam dari aspek aspirasi, kehendak serta pola pemikiran pengundi muda yang semestinya akan bertambah jumlahnya, sedangkan pengundi yang dalam golongan “remaja purba”, semakin berkurangan jumlahnya.
Lantas, keputusan PRN-15 Johor, tidak seharusnya dilihat sebagai “kebangkitan” semula Barisan Nasional semata-mata dari segi sokongan pengundi tegarnya, akan tetapi kebarangkalian berlakunya “tsunami” yang tercetus daripada ledakan suara generasi muda masa kini dan masa hadapan. Suatu hakikat yang tidak dapat dilihat sebelah mata oleh parti-parti yang sedang “berjoget” meraikan kemenangan.