KUCHING: Seramai 349 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya telah menerima dan mengesahkan sebanyak 349 kertas penamaan yang layak bertanding bagi PRU DUN Sarawak Ke-12 daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS)- 82, Parti Bumi Kenyalang (PBK-73), Parti Sarawak Bersatu (PSB-70), Parti Keadilan Rakyat (PKR-28), Parti Tindakan Demokratik (DAP–26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi-15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (11), Amanah (8), Parti Sedar Rakyat Sarawak (5), Parti Islam SeMalaysia (PAS -1) dan Bebas (30).
“Sepanjang tempoh penamaan calon, terdapat dua kertas penamaan telah ditolak iaitu Parti Bumi Kenyalang di DUN Jemoreng atas sebab penyokong calon menarik diri yang menyebabkan kertas penamaan calon tidak lengkap.
“Selain itu, di DUN Senadin (Bebas) atas sebab pencadang dan penyokong calon bukan pemilih berdaftar bagi DUN Senadin,” katanya pada sidang media sempena Proses Penamaan Calon di Bangunan Sultan Iskandar, semalam.
Tambahnya, bilangan pertandingan mengikut penjuru adalah dua penjuru di empat DUN, tiga penjuru (13 DUN), empat penjuru (33 DUN), lima penjuru (24 DUN), enam penjuru (7 DUN), dan lapan penjuru (1 DUN).
“Seramai 304 calon lelaki dan 45 calon wanita akan bertanding kali ini.
“Calon tertua berumur 79 tahun di DUN N.53 Bawang Assan (Parti Sarawak Bersatu) manakala calon termuda berumur 24 tahun di DUN Batu Lintang (Parti Keadilan Rakyat) dan DUN Nangka
(Parti Bumi Kenyalang),” ujarnya.
Jelasnya lagi, tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga 11.59 malam, 17 Disember 2021.
SPR telah menubuhkan 155 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen.
Beliau turut menyasarkan sebanyak 70 peratus rakyat Sarawak keluar membuang undi pada 18 Disember kelak.
Oleh NUR AIN OTSMAN/AZREEN KERIA