
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah pada 24 Januari 2026.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 10 Januari dan 20 Januari.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan dan tarikh penting berkaitan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Menara SPR di sini hari ini.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lepas di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.
Ramlan berkata daftar pemilih bagi PRK berkenaan mengandungi seramai 48,722 pemilih, terdiri daripada 48,526 pengundi biasa dan 196 polis yang merupakan pengundi awal.
Beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan bagi mengadakan PRK Kinabatangan dan DUN Lamag berjumlah RM10 juta.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang diadakan 29 Nov lepas, Bung Moktar, 66, mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Kerusi DUN Lamag dipertandingkan buat pertama kali semasa PRN ke-16 pada 2020.
Sementara itu, semasa Pilihan Raya Umum Ke-10 iaitu pada November 1999, Bung Moktar memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal.
Menurut Ramlan tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 10 Januari 2026 hingga 11.59 malam 23 Januari manakala urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK terbabit dibuka mulai hari ini secara dalam talian.
Katanya tarikh tutup permohonan untuk undi pos adalah pada 8 Januari 2026 bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, polis, tentera dan petugas media) dan 6 Jan 2026 bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) serta kategori 1C (agensi/organisasi).
Beliau berkata bagi menjalankan proses PRK tersebut, SPR melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu lapan penolong pegawai pengurus manakala Dewan Sri Lamag, Kinabatangan dijadikan sebagai Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) serta 1,106 petugas dilantik untuk mengendalikan proses tersebut.
“Sebanyak 36 pusat mengundi biasa yang mengandungi 117 tempat mengundi atau saluran dan satu pusat mengundi awal yang mengandungi satu tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan,” katanya.
SPR menasihati bakal calon supaya membuat semakan awal borang serta membayar deposit lebih awal sebelum hari penamaan calon dan kertas penamaan yang lengkap serta disemak mesti dikemukakan di PPC yang ditetapkan.
Selain itu, SPR turut membuka peluang kepada mana-mana agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau badan yang berminat menjadi pemerhati bagi melihat penjalanan proses PRK itu bermula pada hari penamanaan calon sehingga pengumuman keputusan di PPC, pusat-pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan PPRU.
Pengundi boleh menyemak maklumat pengundian melalui portal, talian hotline atau aplikasi SPR, manakala maklumat dan borang permohonan pemerhati pilihan raya boleh didapati di portal www.spr.gov.my mulai hari ini sehingga 31 Disember 2025. – Bernama