BINTULU: Tumpuan hari ini terarah ke Dewan Suarah Bintulu untuk hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Perhatian menjerumus kepada saingan sama ada kerusi DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru atau lebih.
Ini dapat dilihat apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka kaunter untuk proses penamaan calon bermula 9.00 pagi ini.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Jepak, Abang Zainuddin Abang Turkey semalam, mengesahkan sembilan set borang penamaan calon telah terjual.
Apakah ini memberi bayangan jumlah calon melebihi tiga orang, yang kemungkinan akan muncul calon Bebas?
Setakat ini, dua parti pembangkang tempatan mengesahkan akan bertanding iaitu Stevenson Joseph Sumbang, 42, dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Chieng Lea Ping, 64, mewakili Parti Aspirasi Rakyat (Aspirasi).
Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula mencalonkan bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, Iskandar Turkee, 54, bagi mempertahan kerusi yang dikuasai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak ia diwujudkan pada 1996.
Persoalan sama ada seorang dua calon Bebas akan turut serta akan terjawab selepas tempoh penamaan calon ditutup pada 10.00 pagi ini.
PRK Jepak diadakan berikutan penyandang kerusi DUN itu, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip, 72, dari GPS meninggal dunia pada 15 September lepas.
Untuk rekod, Stevenson Joseph (PBK) pernah bertanding di DUN Jepak pada pilihan raya negeri (PRN) 2021 tetapi cuma mendapat 587 undi.
Ketika itu, Allahyarham Talib yang memperoleh 6,277 undi, menang dengan majoriti 4,243 undi menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Raba’ah Tudin (2,034 undi), calon PBK Stevenson Joseph Sumbang (587) dan calon Bebas, Tuah Kazan (141).
Dipercayai parti pembangkang Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak bertanding kali ini kerana ia kini menyokong GPS dan dalam proses rundingan untuk bergabung dengan Parti Demokratik Progresif (PDP), salah satu parti gabungan dalam GPS.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) dalam kenyataan Rabu lalu mengumumkan, tidak akan meletakkan calon untuk bertanding pada PRK Jepak, kerana mereka ingin memberi tumpuan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada PRK yang akan diadakan pada 2 Disember depan.
PKR Sarawak pula mengambil tindakan sama untuk tidak meletakkan calon di PRK Jepak, demi menjaga keharmonian Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Allahyarham Talib merupakan ADUN Jepak selama 27 tahun, dengan mengharungi enam pilihan raya negeri sejak 1996, sekali gus menjadikan kawasan DUN itu sebagai kubu kuat GPS (sebelum ini Barisan Nasional).
DUN Jepak kini mempunyai 22,804 pengundi berdaftar dengan majoritinya terdiri daripada etnik Melayu/Melanau, iaitu bertambah lebih 8,000 pengundi baharu berbanding hanya 14,643 pengundi pada PRN Disember 2021.
Difahamkan, pertambahan itu kebanyakannya membabitkan pengundi muda.
PRK Jepak adalah yang pertama diadakan di negeri ini selepas PRN-12 yang diadakan pada 18 Disember 2021.
Oleh Kadir Dikoh & Shahrul Qaizat