BINTULU: Pengundi dinasihatkan agar tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, esok.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata pengundi digalakkan keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
Katanya, meskipun pengundi dinasihatkan keluar mengundi mengikut masa digalakkan, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan.
“Maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
“Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan.
Sebagai peringatan, notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam tempat mengundi.
“SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat setelah menerima kertas undi dan yang telah disediakan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.
“Pelaksanaan tatacara pengundian yang baharu ini boleh dirujuk menerusi poster tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya.
“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing,” katanya.
Selain itu, semua pengundi, calon dan petugas yang memasuki pusat mengundi esok adalah dilarang memakai baju, topi,pelitup separuh muka atau membawa material yang mempunyai nama, lambang, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.
“Kegagalan pengundi mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan pengundi dilarang dari memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya.
“Kami berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam.
“Sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat