



KOTA SAMARAHAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang tampil menyantuni keperluan asas penduduk dengan menyalurkan hampir 10,000 botol air minuman bersaiz 1.5 liter.
Ia sebagai usaha segera membantu penduduk Kampung Sungai Mata yang terjejas akibat masalah tekanan air rendah.
Bantuan tersebut disampaikan melalui Pegawai Pusat Khidmat P197 Kota Samarahan sebagai langkah pantas memastikan kebajikan komuniti setempat terus terpelihara.
Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban harian penduduk yang berhadapan kekangan bekalan air, malah mencerminkan keprihatinan tinggi terhadap kesejahteraan rakyat di kawasannya.
Penduduk kampung menyambut baik usaha tersebut dan menzahirkan penghargaan atas tindakan segera yang diambil.
Turut dihargai ialah kerjasama pelbagai pihak yang menjayakan misi bantuan ini demi memastikan penduduk mendapat akses kepada bekalan air bersih dalam tempoh kritikal ini.
Masalah tekanan air rendah yang berlarutan sejak beberapa hari lalu menimbulkan kesukaran kepada ramai penduduk, khususnya keluarga yang mempunyai anak kecil dan warga emas.
Bantuan air minuman ini dilihat sebagai penyelesaian jangka pendek yang amat diperlukan sementara menunggu tindakan penyelesaian jangka panjang daripada pihak berwajib.
Rubiah dalam kenyataannya turut menegaskan komitmen untuk terus memantau isu infrastruktur asas di kawasan luar bandar, termasuk akses air bersih dan kemudahan utiliti lain.
Beliau menyeru agensi berkaitan agar mempercepatkan usaha pemulihan dan menaik taraf sistem bekalan air demi kesejahteraan penduduk.
Oleh Norman B.