Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Prestasi perdagangan Malaysia tumbuh 18.2 peratus
  • BISNES

Prestasi perdagangan Malaysia tumbuh 18.2 peratus

Utusan Sarawak 11 hours ago
PRESTASI perdagangan Malaysia terus mengekalkan trajektori positif pada April 2025, meningkat 18.2 peratus tahun ke tahun kepada RM261.94 bilion, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan Malaysia terus mengekalkan trajektori positif pada April 2025, meningkat 18.2 peratus tahun ke tahun kepada RM261.94 bilion, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Ini menandakan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-16 bulan berturut-turut sejak Januari 2024 dan nilai perdagangan bulanan tertinggi yang pernah dicatatkan sejak Ogos 2022.

MITI berkata kedua-dua eksport dan import mencatat pertumbuhan dua digit yang kukuh bagi bulan itu.

“Eksport mengembang 16.4 peratus kepada RM133.56 bilion manakala import naik 20 peratus kepada RM128.37 bilion.

“Lebihan dagangan yang ke-60 bulan berturut-turut telah direkodkan sejak Mei 2020, bernilai RM5.19 bilion,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

MITI berkata pertumbuhan eksport didorong terutamanya oleh permintaan kukuh bagi barangan perkilangan, terutamanya barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang mencatatkan peningkatan hampir RM16 bilion.

Sektor penting yang lain ialah keluaran pertanian, terutamanya minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit yang turut memberi sumbangan kepada pengembangan keseluruhan eksport, katanya.

Dari segi pasaran, pertumbuhan eksport yang kukuh dicatatkan ke negara rakan dagang utama, iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan yang mencatat rekod tertinggi baharu.

Selain itu, jumlah eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) kembali meningkat dengan kukuh, kata MITI.

Antara pasaran yang mencatatkan pertambahan eksport ialah Mexico, India dan Republik Korea (ROK) yang disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E.

Bagi tempoh Januari hingga April 2025, MITI berkata perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 7.2 peratus tahun ke tahun kepada RM977.61 bilion, dengan eksport naik 7.3 peratus kepada RM511.92 bilion dan import berkembang tujuh peratus kepada RM465.69 bilion.

Lebihan dagangan pula mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 10.4 peratus kepada RM46.23 bilion.

Selain itu, laporan terkini oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menunjukkan perdagangan global Malaysia mencatat peningkatan iaitu naik di kedudukan ke-24 pada 2024, berbanding kedudukan ke-26 pada 2023.– Bernama

Continue Reading

Previous: Kadar jangka pendek diunjurkan kekal stabil, BNM
Next: Ayam kampung kacukan semakin jadi pilihan penternak – UPMKB

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.