PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) menegaskan usia bukan ukuran, sebaliknya pencapaian semasa menjadi penanda aras untuk dipilih mewakili negara ke Sukan SEA 2021 di Vietnam.
Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail (gambar) berkata, pemain senior tetap menjadi keutamaan bagi membarisi skuad sepak takraw negara, jika tiada atlet muda yang mampu menandingi prestasi mereka.
Ahmad menegaskan keputusannya itu bukan menidakkan cadangan dibuat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyenaraikan atlet pelapis ke temasya dwitahunan itu, namun mengambil kira faktor pemain berpengalaman sebagai nadi utama pasukan.
“PSM setuju dengan pendirian siapa yang terbaik, mereka akan pergi ( Sukan SEA Vietnam). Mungkin atlet baru berumur 21 tahun atau lebih sikit. Kalau 25 tahun pun tiada masalah. Kami tidak kisah umur berapa. Hanya yang terbaik akan dipilih.
“Nak tahu siapa yang terbaik, kena ada kejohanan. Dari situ kita akan pilih siapa yang terbaik untuk dihantar ke Sukan SEA. Kita tidak mahu menidakkan bakat atlet sedia ada, disebabkan kriteria baru ini,” katanya, baru-baru ini.
Ahmad berkata perkara sama juga dilakukan musuh tradisi, Thailand, apabila pemain senior turut disenaraikan bagi memperkukuhkan kekuatan pasukan dalam misi mengekalkan pingat emas, di temasya dwitahunan itu.
“Kita lihat yang menjadi pencabar utama kepada kita ialah Thailand.
Seluruh peminat tahu atlet mereka berusia dan berpengalaman. Itu antara sebab mengapa Thailand memonopoli sukan ini.
“Pemain Thailand sudah tujuh, lapan kali ke Sukan SEA dan Sukan Asia. Umur bukan ukuran dia, Ponchai (Ponchai Kaokaew) tahun ni dia 39 tahun, dan tahun ni saya dengar dia akan bermain lagi di Sukan SEA, dan mungkin ini yang terakhir.
“Kita kalah selama ini bukan dari segi skill semata-mata, memang ada beza tapi ia lebih kepada mental. Mental tak kuat sebab kena jumpa pemain Thailand yang berpengalaman. Saya yakin dalam masa setahun dua ini, atlet Malaysia juga boleh berada di tahap itu,” katanya.- Bernama