MOSCOW: Presiden Mali Ibrahim Boubacar Keita melantik enam menteri baharu dan menugaskan mereka untuk mengadakan rundingan bagi menubuhkan kerajaan perpaduan nasional, lapor agensi berita Sputnik.
“Presiden republik itu telah memutuskan untuk membentuk pasukan menteri yang terhad … bertujuan membentuk sebuah kerajaan perpaduan nasional,” kata Ketua Pentadbiran Presiden Kamissa Camara di saluran televisyen ORTM.
Menteri baharu yang akan membentuk pasukan ini telah dilantik di kementerian pertahanan, kehakiman, keselamatan, pentadbiran wilayah, hal ehwal luar negeri serta ekonomi dan kewangan.
Beberapa bulan kebelakangan ini, rusuhan awam terus berlanjutan di Mali, menyaksikan gerakan ‘June 5 Movement – Rally of Patriotic Forces of Mali (M5-RFP)’ menuntut pengunduran presiden.
Pada 23 Julai, presiden lima negara anggota Komuniti Ekonomi Negara-negara Afrika Barat (ECOWAS) – pemimpin Senegal, Niger, Cote d’Ivoire, Ghana dan Nigeria – mengunjungi ibu negara Mali, Bamako untuk bertemu dengan pihak yang terlibat dengn konflik.
Selari dengan saranan ECOWAS, Mali perlu segera membentuk pemerintahan perpaduan nasional, yang akan merangkumi 50 peratus anggota gabungan pemerintah, 30 peratus pembangkang dan 20 peratus wakil orang awam. – Bernama