
KUCHING: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak dianugerahkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM).
Pengiktirafan itu diberikan atas sumbangan cemerlang beliau dalam sektor kewangan pembangunan negara, kata CGC.
Dalam satu kenyataan, CGC berkata anugerah berprestij itu disampaikan pada Malam Gala Anugerah ADFIM pada 8 Oktober, sempena majlis penutup Persidangan Kebangsaan ADFIM mengenai Integriti dan Tadbir Urus yang diadakan di sini pada 7 hingga 8 Oktober.
Menurut ADFIM, pengiktirafan tersebut diberikan atas khidmat bakti berterusan dan kepimpinan Mohd Zamree dalam memperkukuh peranan CGC, khususnya dalam memperluaskan akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pertengahan (mid-tier) di Malaysia.
Sepanjang tempoh kepimpinannya, CGC telah melakar beberapa pencapaian penting termasuk melancarkan imSME, iaitu platform rujukan pembiayaan dalam talian pertama di Malaysia, di samping memperkukuh rangka kerja tadbir urus menerusi amalan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam operasi syarikat.
“Saya amat menghargai pengiktirafan ini daripada ADFIM, serta sokongan berterusan daripada rakan-rakan sekerja dan pengorbanan keluarga saya sepanjang perjalanan ini. Anugerah ini bukan pengakhiran, tetapi satu panggilan untuk terus berkhidmat dengan integriti, akauntabiliti dan tujuan yang jelas,” kata Mohd Zamree.
Dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, persidangan itu menghimpunkan pemimpin dan pengamal sektor kewangan dari seluruh negara bagi merangka hala tuju pembangunan kewangan yang bertanggungjawab, berlandaskan integriti, ketelusan dan pertumbuhan mampan.
Ditubuhkan pada 1981, ADFIM kini mewakili 17 institusi dengan jumlah aset terkumpul melebihi RM200 bilion dan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem kewangan pembangunan negara.
-Bernama