
SEPANG: Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa, tiba di Malaysia malam ini bagi lawatan rasmi selama empat hari atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai tetamu Pengerusi ASEAN.
Pesawat khas yang membawa Ramaphosa dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 11.00 malam ini dan disambut oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Ramaphosa kemudiannya memeriksa perbarisan kawalan kehormatan terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai oleh Kapten Ahmad Fakhruzzakirin Abdul Rahman.
Menurut Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan, ini merupakan lawatan rasmi pertama Ramaphosa ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan sebagai presiden pada Februari 2018.
Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa Ramaphosa akan diberikan sambutan rasmi di Perdana Putra, Putrajaya, esok, diikuti dengan mesyuarat dua hala bersama Anwar di Kompleks Seri Perdana.
Ramaphosa turut dijemput menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Ahad ini.
Pada Isnin, beliau dijadualkan menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 serta menghadiri majlis makan malam gala yang akan dihoskan oleh Perdana Menteri.
Pada 2024, Afrika Selatan muncul sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di benua Afrika, dengan nilai perdagangan dua hala berjumlah RM7.82 bilion (A$D1.71 bilion).
Eksport Malaysia ke Afrika Selatan bernilai RM3.84 bilion (A$D0.84 bilion), manakala import berjumlah RM3.98 bilion (A$D0.87 bilion) angka yang mencerminkan pertumbuhan hubungan ekonomi dan potensi besar kerjasama masa hadapan antara kedua-dua negara.
Antara barangan utama eksport Malaysia ke Afrika Selatan ialah minyak sawit dan produk berasaskan sawit, produk petroleum serta barangan elektrik dan elektronik, manakala import dari Afrika Selatan merangkumi produk logam, hasil pertanian seperti buah-buahan segar dan kering, serta makanan diproses.
Malaysia dan Afrika Selatan menjalin hubungan diplomatik pada November 1993, dengan hubungan dua hala yang ditandai oleh ikatan diplomatik, ekonomi dan sejarah yang kukuh.
Kedua-dua negara juga bekerjasama rapat di pelbagai platform multilateral, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Komanwel, dan BRICS.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari esok hingga Selasa depan di Kuala Lumpur.
Sidang kemuncak kali ini akan menghimpunkan pemimpin ASEAN dan rakan dialog termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Brazil, Australia dan Majlis Eropah, menjadikannya sidang ASEAN terbesar sejak penubuhannya pada 1967.
Tahun ini juga menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN, selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-Bernama