
PUTRAJAYA: Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini bersempena kehadirannya sebagai Tetamu Pengerusi bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Ketibaan Ramaphosa bersama delegasi kira-kira 4.00 petang disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir menteri-menteri Kabinet antaranya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pengangkutan Anthony Loke serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Istiadat sambutan di Dataran Perdana Putra dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pusat Pancaragam Rejimen Askar Melayu Diraja.
Ramaphosa kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) diketuai Mejar Khairul Azmi Jamingon.
Terdahulu, Ramaphosa menghadiri sesi panel bertajuk Leader Fireside Chat dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah Standard Chartered Bank Malaysia Mak Joon Nien, pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Pada sesi berkenaan, Presiden Afrika Selatan itu dilaporkan berkata ASEAN kekal menjadi pasaran penting bagi negara itu memandangkan ia berhasrat meningkatkan perdagangan dan pelaburan di rantau ini.
Beliau berkata Afrika Selatan bersedia untuk saling belajar dan berkongsi kepakaran dengan ASEAN bagi meningkatkan sektor utama seperti teknologi dan infrastruktur.
Semalam, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan ini adalah lawatan rasmi pertama Ramaphosa ke Malaysia sejak menyandang jawatan itu pada Februari 2018.
Menurut kenyataan itu, Ramaphosa akan diberikan sambutan rasmi di Perdana Putra disusuli mesyuarat dua hala dengan Anwar di Kompleks Seri Perdana.
Ramaphosa turut diundang menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada esok.
-Bernama