KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempunyai kuasa prerogatif untuk melantik individu yang akan mengisi slot Timbalan Ketua Menteri (TKM).
Itu pandangan Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Alexander Nanta Linggi, ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Dr. Sim Kui Hian dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri setelah SUPP di bawah pimpinan beliau berjaya memenangi 13 kerusi daripada 18 kerusi yang ditandingi semasa Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) baru-baru ini.
“Ia terpulang kepada Ketua Menteri untuk melantik sesiapa sahaja untuk menjadi timbalan beliau memandangkan beliau pengerusi bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Itu adalah kuasa prerogatif Ketua Menteri dan siapa yang hendak dilantik adalah terletak kepada keputusan Abang Johari namun, sekiranya Dr. Sim dilantik, kita terima dengan baik,” ujarnya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada sidang media Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Pasar Raya Everrise, Plaza Merdeka, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Nanta menyifatkan kemenangan GPS dalam PRN-12 lalu sebagai kematangan rakyat dalam memilih tampuk pimpinan.
“Meskipun pelbagai isu yang disebarkan oleh pihak pembangkang mengenai kegagalan GPS dalam memimpin Sarawak namun, rakyat lebih fokus kepada pembangunan dan kemajuan yang telah dilaksanakan oleh GPS selama ini dan ia bergantung kepada kebijaksanaan rakyat untuk memilih,” jelasnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA