

MIRI: Sebuah premis perniagaan perabot di Jalan Miri–Lutong di sini, terbakar awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.15 tengah malam dan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dengan bantuan BBP Lopeng digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sekitar 10 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan satu unit lot di tingkat satu bangunan jenis kekal berkeluasan sekitar 80 x 80 kaki persegi dan terbakar dianggarkan 30 peratus,” menurut kenyataan itu.
Selepas penilaian awal, bomba melaksanakan operasi pemadaman bagi mengawal keadaan dan memadam kebakaran.
Pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 400 kaki, satu cabang pembahagi serta dua muncung pancutan, dengan sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
“Api berjaya dikawal pada 12.35 tengah malam dan dipadam sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada 1.00 pagi,” katanya.
Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini.
Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak forensik bomba.
Oleh Liong Chai Ling