
KUCHING: Hanya premis yang memiliki sijil halal dibenarkan untuk menganjurkan bufet Ramadan di Sarawak.
Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi menjelaskan bahawa Majlis Islam Sarawak (MIS) telah mengeluarkan pekeliling sejak dua minggu lalu bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan tersebut.
“Setiap tahun, kita mengingatkan semua pengusaha makanan termasuk hotel bahawa hanya premis yang mempunyai sijil halal boleh menawarkan bufet Ramadan.
“Jika mereka tidak memiliki sijil halal, mereka tidak dibenarkan menggunakan istilah ‘bufet Ramadan’ dalam promosi mereka,” katanya ketika ditemui media semasa majlis Penyampaian Sumbangan MIS kepada masjid, surau, dan tanah perkuburan Islam di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, hari ini.
Menurut beliau, penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah dilakukan dan setakat ini kebanyakan menunjukkan kebanyakan premis telah mematuhi peraturan, manakala premis yang masih dalam proses mendapatkan sijil halal diberi bimbingan untuk memenuhi syarat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa hanya premis yang mempunyai sijil halal dibenarkan untuk beroperasi di bazar Ramadan.
“Setakat ini, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) telah menetapkan tiga lokasi utama bazar Ramadan di Sarawak, iaitu di Satok, Samariang dan Stutong.
“Selain aspek halal, kebersihan juga menjadi keutamaan dalam bazar Ramadan, dan peniaga perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pengurusan sisa makanan dan sampah berjalan lancar,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan umat Islam mengenai adab ketika tidak berpuasa.
“Mereka yang tidak dapat berpuasa atas faktor kesihatan harus menghormati Ramadan dan tidak makan di tempat awam secara terbuka.
“Puasa ini adalah antara kita dan Allah SWT. Jika ada keuzuran, kita tahu apa yang perlu dilakukan, tetapi yang penting, kita perlu menjaga adab dan sensitiviti masyarakat,” tambahnya.
Dengan peraturan yang semakin ketat terhadap penggunaan istilah ‘bufet Ramadan’ dan pemantauan terhadap bazar Ramadan, pihak berkuasa Sarawak berusaha memastikan ibadah puasa dijalankan dalam suasana yang lebih terkawal dan berlandaskan syariat.
Oleh Masrin Affirah