

MIRI: Sembilan premis dipercayai menjalankan kegiatan judi dalam talian secara haram di sekitar bandar raya ini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik dalam operasi bersepadu yang dijalankan selama dua hari bermula Isnin lepas.
Operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) Cawangan Miri.
Menerusi hantaran di laman Facebook Polis Daerah Miri, hasil serbuan, semua premis terbabit dikenal pasti beroperasi tanpa lesen sah dan digunakan untuk aktiviti perjudian dalam talian.
“Tindakan pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan mengikut Seksyen 21A (1), Akta Rumah Judi Terbuka 1953 sebagai langkah tegas membanteras kegiatan berkenaan.
“Operasi itu mencerminkan kerjasama erat antara pihak berkuasa dan agensi utiliti dalam memperkukuh penguatkuasaan terhadap perjudian haram,” menurut kenyataan itu.
Polis memandang serius kegiatan ini kerana boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat termasuk peningkatan jenayah dan gejala sosial.
Operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti perjudian dalam talian dapat dibendung sepenuhnya.
Oleh Liong Chai Ling