
KUCHING: Lelaki tempatan ditahan dalam satu operasi Op Noda dan Op Pusat Hiburan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di premis hiburan kawasan Saradise, Jalan Stutong, di sini, semalam.
Pada serbuan tersebut, seramai 17 individu telah diperiksa di premis berkenaan. Hasil pemeriksaan mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah.

Sehubungan itu, pihak polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan kerana gagal mengemukakan permit serta menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen. Turut dirampas adalah peralatan muzik milik premis berkenaan bagi tujuan siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu berkata, pihak polis akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengusaha premis hiburan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Beliau turut menasihatkan pengusaha premis hiburan di daerah ini supaya mendapatkan lesen hiburan awam yang sah serta tidak menjalankan aktiviti melebihi masa operasi yang dibenarkan.