Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Premier Sarawak ziarahi kediaman mendiang Dominic Andrew Dago Randan, tokoh penting penyatuan masyarakat Bidayuh
  • TEMPATAN

Premier Sarawak ziarahi kediaman mendiang Dominic Andrew Dago Randan, tokoh penting penyatuan masyarakat Bidayuh

Utusan Sarawak 12 hours ago

SERIAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, telah menziarahi kediaman keluarga mendiang Datuk Amar Dominic Andrew Dago Randan di Kampung Pichin, malam tadi, bagi memberi penghormatan terakhir kepada tokoh masyarakat Bidayuh tersebut.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun.

Beliau meninggalkan balu, Datin Amar Mary Margaret Lenuh, serta enam orang anak, tiga lelaki dan tiga perempuan.

Dalam ucapannya, Premier Sarawak menyifatkan mendiang sebagai antara tokoh penting dalam sejarah pembentukan Malaysia, khususnya atas peranannya menyatukan sokongan masyarakat Bidayuh terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963.

“Mendiang merupakan Ahli Parlimen pertama bagi kawasan Serian, dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Upper Sadong selama sepenggal,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar mendiang dalam usaha menyatukan Parti Pesaka dan Parti Bumiputera yang kemudiannya membentuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Mengimbas hubungan peribadi, Abang Johari memaklumkan bahawa mendiang ialah rakan sebaya kepada ayahandanya, Allahyarham Tun Datuk Patinggi Abang Haji Openg, semasa kedua-duanya berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak.

“Kerana hubungan itu jugalah, arwah ayahanda saya pernah menjejakkan kaki ke Kampung Pichin pada 1970-an,” tambah beliau.

Selepas bersara daripada politik, mendiang terus menabur bakti kepada masyarakat dan kerajaan negeri melalui pelbagai jawatan, termasuk sebagai Setiausaha Politik dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dari 1971 hingga 1973.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) antara 1973 hingga 1975, serta merupakan pengasas dan guru besar pertama Sekolah Rendah St. Dominic, Kampung Pichin yang ditubuhkan pada 1955.

Sebagai mengiktiraf jasa-jasanya, mendiang telah dianugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak (DA) yang membawa gelaran Datuk Amar pada 2019.

Selain itu, beliau turut menerima beberapa anugerah lain termasuk Anugerah Tokoh 1Malaysia (2009), Anugerah Pengasas Perjuangan Kemerdekaan, serta Pingat Jubli Intan Kemerdekaan Sarawak.

Upacara penghormatan terakhir akan berlangsung sehingga Isnin, manakala upacara pengebumian dijadualkan pada 19 Mei, 9.00 pagi di Gereja Trinitas Kudus, Kampung Pichin sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pichin.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Sulit Kanan kepada Premier Sarawak Datuk Khir Busrah, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Pegawai Daerah Serian Inting Nyami, dan Setiausaha Majlis Daerah Serian Tay Guan Huat, serta tetamu kehormat lain.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Siri taklimat GKCDA di seluruh Sarawak tamat di Kuching
Next: 31 Ahli Majlis Daerah Gedong angkat sumpah bagi Penggal 2025–2028

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.