
SIMANGGANG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan Kuching City FC atas kejayaan membanggakan dalam saingan bola sepak kebangsaan yang terus menunjukkan peningkatan ketara.
Beliau berkata, kejayaan terbaharu skuad Kuching City FC yang menewaskan Brunei dengan keputusan 3-1 malam tadi membuktikan keupayaan dan kesungguhan pasukan dalam mengekalkan prestasi cemerlang di atas padang.
Menurut Abang Johari, kemenangan tersebut menyusul kejayaan sebelum ini apabila Kuching City FC turut mencatat kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC, sekali gus membiktikan peningkatan kualiti permainan dan tahap daya saing pasukan.
“Ini bermakna sukan bola sepak kita telah meningkat ke atas. Tahniah kepada pasukan Kuching City FC atas komitmen dan semangat juang yang ditunjukkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Sukan Sarawak (SUKSAR) edisi ke-IV 2026 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini.

Abang Johari turut menyatakan keyakinan bahawa Kuching City FC berpotensi melangkah ke peringkat suku akhir dalam kejohanan yang disertai, dan seterusnya mara ke separuh akhir Piala Malaysia sekiranya berjaya mengekalkan momentum kemenangan.
Tambahnya lagi, jika pasukan itu berjaya menempah tempat ke perlawanan akhir, berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT FC) bukanlah satu halangan, sebaliknya menjadi cabaran besar yang perlu dihadapi dengan penuh keyakinan.
Abang Johari menegaskan bahawa kejayaan dalam bidang sukan, khususnya bola sepak, adalah selari dengan usaha kerajaan Sarawak dalam membangunkan negeri dari segi ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Apabila kita membangunkan ekonomi, kita juga membangunkan sukan. Kejayaan ini adalah simbol kemajuan Sarawak secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berharap pencapaian Kuching City FC akan terus menjadi inspirasi kepada generasi muda serta memperkukuh pembangunan sukan di Sarawak ke arah tahap yang lebih tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Turut hadir ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu; Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.
Oleh Adi Safarman