
NANJING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, tiba di Nanjing hari ini bagi memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke Wilayah Jiangsu, China.
Premier berlepas dari Bangkok selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan International Water Association (IWA).
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanjing Lukou, beliau bersama delegasi disambut oleh Pengerusi Petros, Tan Sri Datuk Amar Haji Hamid Bugo serta Naib Presiden Kanan Petros bagi Sumber Manusia, Perhubungan Korporat dan Perkhidmatan, Tuan Ismail Said.
Turut hadir menyambut ketibaan Premier ialah Pengerusi China Jiangsu International Corporation (CJI), Song Qinbo dan Naib Presiden CJI, Deng Yajun.
Lawatan yang berlangsung mulai hari ini hingga Jumaat itu merangkumi majlis menandatangani perjanjian antara Petros dan CJI bagi pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching, selain pertemuan dengan pihak berkepentingan di Nanjing serta hab industri berdekatan di Suzhou.
Wilayah Jiangsu yang mempunyai asas industri kukuh dan tumpuan kepada pembangunan berteknologi tinggi dilihat sebagai rakan strategik ideal bagi Sarawak, yang kaya dengan sumber tenaga hidro dan giat membangunkan ekonomi hidrogen hijau.
Hasil lawatan ini dijangka menyumbang secara langsung kepada Strategi Pembangunan Pasca COVID 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi mampan serta pelepasan karbon sifar bersih.
Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Datuk Ibrahim Baki, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros, Dato Janin Girie serta Naib Presiden Kanan Petros bagi Pertumbuhan, Datuk Joseph Podtung.