
PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat Mufti Sarawak, Datu Khalidi Ibrahim di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Kunjungan tersebut merupakan pertemuan rasmi pertama Datu Khalidi bersama Premier Sarawak selepas dilantik sebagai Mufti Sarawak menggantikan Datu Kipli Yassin yang tamat tempoh perkhidmatan pada 28 Februari lalu.
Pelantikan Datu Khalidi berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026 susulan persaraan Datu Kipli selepas lebih sedekad menerajui institusi keagamaan negeri.

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Pakar Rujuk di Jabatan Mufti Sarawak dan memainkan peranan penting dalam institusi berkenaan.
Pelantikan beliau dilihat sebagai kesinambungan kepimpinan dalam memperkukuh institusi fatwa negeri agar terus berwibawa, relevan dan responsif terhadap perkembangan semasa. Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Mufti Sarawak, Khalipah Juli.
Oleh Shahrul Qaizat