
PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jawatankuasa Gawai Dayak 2025 di pejabat beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Petra Jaya.
Delegasi tersebut diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang menyampaikan jemputan rasmi kepada Premier Sarawak untuk menghadiri Rumah Terbuka Gawai Dayak yang dijadualkan berlangsung pada 1 Jun 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
“Saya juga ingin menjemput orang awam termasuk pengamal media untuk hadir memeriahkan rumah terbuka tersebut,” ujar beliau ketika ditemui selepas kunjungan berkenaan.
Douglas turut memaklumkan bahawa Premier Sarawak turut dijemput untuk menghadiri program Niti Daun, iaitu perarakan tahunan sempena sambutan Gawai, yang akan diadakan pada 21 Jun 2025.
“Selain itu, pada 25 Jun 2025, Majlis Makan Malam Gawai Dayak akan diadakan. Kita turut menjemput Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Premier Sarawak untuk menghadiri majlis tersebut,” tambah beliau.
Turut hadir Menteri di Jabatan Premier, Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Penguang Manggil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek), Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Pengangkutan II, Dato Henry Harry Jinep serta ahli jawatankuasa lain. -JAPEN