
TOKYO, JEPUN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir ke Majlis Penganugerahan di Istana Imperial di sini bagi menerima penganugerahan ‘ The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star’ daripada Maharaja Naruhito, salah satu anugerah tertinggi yang dikurniakan oleh kerajaan Jepun.
Abang Johari, anak Sarawak pertama dari Borneo yang menerima Anugerah Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star dikurniakan oleh Maharaja Jepun sebagai penghargaan kepada individu yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antarabangsa dan diplomasi Jepun terutamanya melalui inisiatif Sarawak dalam tenaga boleh diperbaharui, hidrogen hijau serta kerjasama pelaburan antara kedua-dua negara.
Pencapaian ini membuktikan bahawa anak Sarawak mampu diiktiraf dunia jika terus fokus kepada bidang baharu seperti tenaga, ekonomi digital dan semikonduktor.
Ketika ditanya pemberita selepas majlis penganugerahan tersebut, beliau menyifatkan pengiktirafan yang diterimanya daripada Maharaja Jepun sebagai penghormatan besar kepada seluruh rakyat dan Sarawak amnya.
Premier Sarawak kemudiannya berlepas ke Seoul, Korea Selatan pada malam ini bagi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ke-36 Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) di bawah kerangka lawatan rasmi seterusnya.