
KUALA LUMPUR: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyuntik sokongan moral kepada pasukan Kuching City FC (KCFC) dengan turut hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2025/2026 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini.
Beliau yang selesai merasmikan program Sarawakku Sayang Bahagian Bintulu pagi tadi tiba di Stadium Nasional Bukit Jalil sekitar 8.45 malam.

Ketibaan Premier Sarawak disambut oleh Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Kesihatan Dato Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Presiden KCFC Dato Fazzrudin Abdul Rahman.

Kehadiran Premier Sarawak dan barisan pemimpin kerajaan negeri menggamatkan sorakan sekitar lebih 20,000 penyokong KCFC yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil sejak 5.00 petang tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Dato Onn Hafiz Ghazi serta barisan pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL). – EDISI UKAS