
PETRA JAYA: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bakal menubuhkan Kursi Endowmen Penyelidikan dengan sokongan penuh kerajaan Sarawak sebagai langkah strategik memperkukuh ekosistem penyelidikan universiti dan melonjakkan kedudukannya ke persada antarabangsa.
Naib Canselor Unimas, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyatakan persetujuan untuk mewujudkan Kursi Endowmen Penyelidikan bagi tiga bidang utama iaitu Rangkaian Biodiversiti, Kejuruteraan Bioperubatan dan Bioinovasi, serta Sejarah Sarawak.
“Kita akan berbincang lebih lanjut dengan Premier Sarawak untuk membantu dalam meningkatkan penyelidikan Unimas agar ia meningkatkan lagi kedudukan kita di peringkat antarabangsa kerana itu adalah harapan beliau untuk Unimas menjadi universiti bertaraf global.
“Insya-Allah kita telah buat perjumpaan tadi dan kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak akan memberi sedikit dana kepada kita untuk melonjakkan kita terus ke persada antarabangsa,” katanya kepada media selepas kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.
Kunjungan hormat berkenaan diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.
Mengulas lanjut, Profesor Dr Ahmad Hata berkata penubuhan Kursi Endowmen Penyelidikan ini turut merangkumi penubuhan sebuah institut baharu berkonsepkan global, futuristik dan transdisiplin.
Dalam pertemuan sama, Profesor Dr Ahmad turut memaklumkan mengenai perkembangan penubuhan Fakulti Undang-Undang Unimas yang kini telah sampai ke Kementerian Pendidikan Tinggi pertimbangan di peringkat persekutuan dan kini memerlukan surat sokongan dari kerajaan negeri untuk kelulusan jemaah menteri.
Sementara itu, beliau menambah pihaknya turut memaklumkan Premier Sarawak mengenai peningkatan ketara dalam kedudukan universiti itu dalam penarafan Times Higher Education (THE) yang berjaya melonjak daripada kedudukan 401 pada tahun 2023 ke kelompok 101 hingga 200 tahun ini.
Dalam pada itu, katanya Majlis Konvokesyen Unimas akan berlangsung dari 3 hingga 6 November akan datang dan Premier Sarawak selaku Pro-Canselor Unimas dijadualkan hadir pada 4 November untuk meraikan para graduan.
-UKAS