
PUTRAJAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia–Brunei ke-26 (ALC) yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, hari ini, sekali gus menzahirkan peranan penting Sarawak dalam mengukuhkan kerjasama serantau.
Rundingan tahunan yang menjadi wadah utama dialog strategik antara Malaysia dan Brunei itu dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Kehadiran pemimpin tertinggi tersebut melambangkan kesungguhan untuk memperkukuh hubungan diplomatik yang terjalin antara kedua-dua negara.
Abang Johari tiba sekitar 10.00 pagi bagi menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang kesihatan antara Menteri Kesihatan Brunei, Datuk Seri Dr Mohammad Isham Jaafar dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. MoU tersebut dijangka membuka ruang baharu dalam usaha memperkukuh sistem penjagaan kesihatan.
Selesai majlis tersebut, Abang Johari turut menghadiri jamuan tengah hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri, yang turut disertai pemimpin utama Malaysia dan delegasi kerajaan Brunei.
Rundingan ini turut dilihat sebagai pentas penting untuk mengukuhkan kerjasama serantau ke arah keamanan dan kemakmuran bersama. Malaysia dan Brunei dijangka terus memperluas bidang kerjasama ke sektor lain seperti pendidikan, dan teknologi selaras dengan aspirasi rantau ini menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Turut hadir Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta delegasi kerajaan Brunei yang diketuai pegawai kanan istana dan kerajaan.