
TOKYO, Jepun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selamat tiba di Tokyo, Jepun hari ini dalam rangka lawatan kerja rasmi selama dua hari bagi menghadiri Persidangan Hidrogen Dunia Asia 2025.
Beliau bersama rombongan kerajaan Sarawak tiba di Lapangan Terbang Antarabanga Narita, Tokyo pada 5.25 petang tadi waktu tempatan.
Mengiringi beliau ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel.
Menyambut ketibaan beliau di hotel penginapan ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros) Dato Ibrahim Baki serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.
Premier Sarawak diberi penghormatan di peringkat antarabangsa apabila beliau akan berkongsi mengenai visi tenaga hijau Sarawak menerusi ucaptama bertajuk ‘Sarawak’s Hydrogen Vision: Catalysing Green Growth for ASEAN and Beyond’, pada keesokan hari.
Ucaptama beliau akan memfokuskan kepada Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak yang terkini, strategi bersepadu pembangunan tenaga boleh diperbaharui, kerjasama awam-swasta, serta pelaburan dalam teknologi hidrogen, merangkumi penyelesaian mobiliti hingga kepada potensi eksport masa hadapan.
Sarawak kini muncul sebagai peneraju dalam pembangunan hidrogen hijau di rantau ASEAN, dengan memanfaatkan sumber tenaga hidro, dasar yang jelas serta kerjasama antarabangsa yang strategik.
Penyertaan Premier Sarawak mencerminkan pengiktirafan yang semakin meluas terhadap peranan kepimpinan negeri itu dalam menerajui masa depan tenaga bersih di Asia.
Premier Sarawak seterusnya akan menyertai perbincangan panel iaitu menyelaraskan sokongan dasar hidrogen di seluruh rantau Asia Pasifik (APAC).
Beliau akan disertai oleh Ketua Pengarah Dasar Antarabangsa bagi Keberneutralan Karbon, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Jepun, Shinichi Kihara, Penasihat, Kementerian Tenaga, Arab Saudi, Osama Melebari dan Felo Penyelidik, Institut Penyelidikan Demokrasi, Masyarakat dan Teknologi Baharu, Taiwan, Dr. Tsaiying Lu.
Untuk rekod, Persidangan Hidrogen Dunia Asia 2025 menghimpunkan para peneraju global dalam bidang hidrogen bagi mempercepat peralihan ke arah ekonomi hidrogen bersih di seluruh Asia.
Manakala pada sebelah petang, Premier Sarawak akan mengadakan pertemuan bersama pihak Sumitomo.
Premier Sarawak dijangka berlepas pulang ke ibu negeri pada Jumaat ini. -UKAS