
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyambut baik komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara dasar bersetuju untuk menambah bilangan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
Bercakap kepada media hari ini, Abang Johari mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kesediaan Kerajaan Persekutuan menimbang penambahan kerusi bagi kedua-dua negeri Borneo itu.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada PM kerana bersetuju untuk menambah kerusi Parlimen. Sama ada beliau boleh menepati (permintaan) satu per tiga nanti, kita runding,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Hari Integriti DBOS di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Beliau ditanya susulan kenyataan Anwar di Kota Kinabalu semalam bahawa kerajaan secara dasarnya bersetuju menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak berdasarkan pertambahan jumlah pengundi, walaupun belum memberi komitmen mencapai kuota satu pertiga kerusi seperti kehendak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Anwar turut memaklumkan isu itu sedang ditangani melalui Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JKTMTPM63), selain melibatkan perbincangan bersama peguam negeri Sabah, Sarawak dan Peguam Negara.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata urusan menambah kerusi terletak sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Parlimen terpulang kepada Kerajaan Persekutuan, sama ada beliau (Perdana Menteri) dapat memenuhi permintaan satu per tiga, kita lihatlah,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan mengadakan rundingan khusus dengan Perdana Menteri selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir, Premier menjelaskan ia bergantung kepada jemputan pihak Persekutuan.
“Saya, sekiranya beliau memanggil, jadi runding. Kalau tidak, kita tunggu sahaja,” katanya.
Pada masa ini, Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai 25 dan 31 kerusi Parlimen.
Kenyataan Perdana Menteri mengenai penambahan kerusi itu turut dibuat ketika program Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah, di mana beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk menambah kerusi mengikut keperluan serta memastikan proses berkaitan dilaksana melalui mekanisme yang betul dan telus.
Penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak merupakan antara perkara yang sering dibangkitkan sebagai usaha memulihkan keseimbangan perwakilan wilayah seperti termaktub dalam semangat MA63.
Oleh Shahrul Qaizat