
PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Majlis Sungkei Yayasan Sarawak 2026 di Dewan Serbaguna Kompleks Satria Pertiwi, malam ini.
Majlis tersebut turut menyaksikan simbolik penyerahan zakat perniagaan daripada tiga anak syarikat Yayasan Sarawak kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).
Sebagai Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Sarawak, beliau menyaksikan penyerahan zakat perniagaan daripada Petronesa Sdn Bhd berjumlah RM412,390 dan Sanjung Etika Sdn Bhd sebanyak RM12,419.72 yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Pometia Sdn Bhd turut menyalurkan zakat perniagaan sebanyak RM10,224 yang disampaikan oleh Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin.
Simbolik penyerahan zakat tersebut diterima oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha mewakili Tabung Baitulmal Sarawak.
Dalam majlis yang sama, seramai 20 pelajar daripada keseluruhan 62 pelajar jemputan dari Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) dan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) turut menerima simbolik sumbangan duit raya yang disampaikan oleh Premier Sarawak bersama anaknya, Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Majlis yang dihadiri kira-kira 390 kakitangan Kumpulan Yayasan Sarawak dan Pejabat Premier Sarawak itu dimulakan dengan berbuka puasa sebelum diteruskan dengan solat Maghrib dan jamuan makan malam.
Acara kemudian diteruskan dengan solat Isyak dan solat Tarawih.
-UKAS