
PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluangkan masa hadir ke Stadium Negeri, di sini, malam ini bagi menyaksikan perlawanan Liga Super antara Kuching City FC (KCFC) menentang Negeri Sembilan FC (NSFC).
Ketibaan beliau sekitar 8.00 malam disambut oleh Pengurus Pasukan KCFC, Irwanshah Mohamed, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan kepimpinan negeri terhadap pembangunan sukan bola sepak di Sarawak.

Kehadiran Premier Sarawak itu turut mencatat detik bermakna apabila ia merupakan penampilan sulung beliau menyaksikan aksi KCFC selepas kelab tersebut kembali mewarnai saingan bola sepak tanah air sejak sedekad lalu.
Perlawanan yang berlangsung dalam suasana penuh semangat itu berjaya menarik kehadiran 6,535 penonton, sekali gus membuktikan sokongan padu penyokong tempatan terhadap KCFC serta kebangkitan bola sepak Sarawak di peringkat nasional.
Turut hadir, Presiden KCFC Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
-UKAS