
SEOUL: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ke-36 Majlis Dakwah Islam Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP).
Mesyuarat itu menghimpunkan pimpinan RISEAP dan wakil dari seluruh Asia Tenggara serta Pasifik bagi menilai pencapaian organisasi, mengukuhkan kerjasama antara negara anggota, serta membincangkan usaha berterusan menyokong komuniti minoriti Muslim di rantau ini.
Agenda utama termasuk pembentangan laporan ringkas aktiviti RISEAP 2025, kemas kini daripada Zon Utara, Tengah, Selatan serta sayap wanita, selain semakan laporan kewangan 2024.
Ahli-ahli juga membincangkan program strategik untuk 2026 dan mencadangkan pelantikan naib presiden baharu RISEAP.

Abang Johari menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama erat antara RISEAP dan komuniti minoriti Muslim di negara masing-masing, serta memuji peranan organisasi itu dalam memperkasakan komuniti dan mengukuhkan keharmonian sosial.
Beliau menekankan bahawa kolaborasi ini mencerminkan semangat perpaduan, kefahaman, dan sokongan bersama yang menjadi teras misi RISEAP.
Dalam ucapannya, Abang Johari menekankan komitmen Sarawak menyumbang kepada pendidikan dan pembangunan modal insan di Kepulauan Pasifik melalui inisiatif pertukaran pelajar.
“Kami akan memberi perhatian kepada anak-anak Kepulauan Pasifik dengan menghantar mereka ke Sarawak bagi pendidikan lebih baik. Ini demi kesejahteraan ummah kerana mereka akan menerima layanan mesra dan ilmu di Sarawak, dan apabila kembali, dapat membantu komuniti masing-masing,” katanya.

Beliau menambah bahawa sekolah antarabangsa di Sarawak akan memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan peluang pertukaran budaya, sekali gus memupuk kefahaman serta persahabatan jangka panjang antara negara anggota RISEAP.
“Pertukaran ilmu dan nilai melalui pendidikan adalah salah satu cara paling bermakna mengukuhkan persahabatan dan kefahaman antarabangsa. Sarawak menyambut pelajar daripada rakan RISEAP dan menantikan pengukuhan lagi hubungan pendidikan ini,” ujarnya.
Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ke-36 RISEAP menandakan satu pencapaian penting dalam memupuk solidariti komuniti Muslim di Asia Tenggara dan Pasifik, serta menegaskan peranan aktif Sarawak dalam memajukan pendidikan, keterangkuman, dan keharmonian antara agama di peringkat serantau.