
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bersama keluarga, berkesempatan merasai pengalaman menaiki E-Penambang iaitu perahu tambang elektrik pertama yang beroperasi di Sungai Sarawak, semalam.
Kunjungan ini membolehkan beliau meninjau secara langsung pelaksanaan dan operasi E-Penambang, yang kini menjadi antara inisiatif penting dalam usaha mentransformasikan sistem pengangkutan air di bandar raya ini.
Sepanjang lawatan, Premier Sarawak turut menerima taklimat ringkas daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) berhubung operasi semasa E-Penambang, yang melibatkan sembilan unit perahu tambang elektrik serta kemudahan stesen pengecasan solar yang terletak di Jeti Pontoon Kampung Sungai Bintangor.
Inisiatif E-Penambang ini memperkukuh pengangkutan ikonik Bandaraya Kuching dengan ciri yang lebih selamat, cekap, mesra alam dan rendah karbon sambil mengekalkan reka bentuk tradisional perahu tambang.
Usaha ini juga secara tidak langsung menyumbang ke arah pencapaian inisiatif Bandar Pintar di bawah komponen Smart City Mobility dalam strategi pembangunan negeri.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros) Dato Ibrahim Baki, Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman, Pengarah DBKU Ramzi Abdillah dan Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Infrastruktur DBKU Ts. Mohamad Faisal Adenan.- Ukas