
KUCHING: Majlis Iftar anjuran Sarawak Energy bersama rakan strategik menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan kerjasama antara kerajaan, industri dan pemegang taruh strategik sempena Ramadan ini.
Majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini telah diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam Dato Seri Paduka Awang Mohamad Azmi Mohd Hanifah, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros) merangkap Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Ibrahim Baki.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili bersama ahli-ahli lembaga pengarah, barisan kepimpinan kanan syarikat, ketua-ketua jabatan, rakan industri serta pengamal media.

Majlis yang menghimpunkan kira-kira 400 tetamu itu merupakan acara tahunan Sarawak Energy sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan serta kerjasama dengan pelbagai pihak yang sentiasa menyokong pembangunan sektor tenaga di Sarawak.
Menurut Datuk Sharbini Suhaili, Ramadan memberi peluang kepada semua pihak untuk memperkukuh semangat kebersamaan, selain menghargai hubungan yang telah terjalin antara Sarawak Energy dan rakan strategiknya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak Energy akan terus komited menyediakan bekalan tenaga yang stabil dan mampan, di samping memperkukuh kerjasama dengan kerajaan serta rakan industri dalam menyokong pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di Sarawak.
Selepas berbuka puasa, para tetamu turut menunaikan solat Maghrib, diikuti solat Isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah yang dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadilah Dato Mustafa Kamal Ahmad Fauzi.
Penganjuran majlis tersebut bukan sahaja mengukuhkan silaturahim sempena Ramadan, malah turut memperkasakan jaringan kerjasama strategik dalam usaha memacu pembangunan Sarawak ke arah mencapai status negeri maju menjelang 2030.
-UKAS