
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Majlis Berbuka Puasa, Solat Maghrib, Isyak dan Solat Sunat Tarawih berjemaah bersama pemimpin dan masyarakat hari ini.
Ketibaan Premier Sarawak disambut oleh barisan dif-dif kenamaan, pemimpin tempatan serta penduduk setempat. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sebelum hadirin bersama-sama menunggu waktu berbuka puasa.
Sejurus azan Maghrib berkumandang, Premier Sarawak turut serta berbuka puasa bersama para jemputan, diikuti dengan solat Maghrib berjemaah.
Suasana majlis berlangsung dalam keadaan penuh mesra, mencerminkan semangat kebersamaan antara kepimpinan negeri dan komuniti.

Program diteruskan dengan solat Isyak dan solat sunat tarawih berjemaah. Kehadiran Premier Sarawak disifatkan sebagai tanda keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam mendekati rakyat, khususnya pada Ramadan ini.
Para jemputan juga turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas kehadiran Premier Sarawak yang meluangkan masa bersama masyarakat sepanjang program berlangsung.
Majlis seumpama ini diharap dapat terus memperkukuh ukhuwah, memupuk semangat perpaduan serta mempererat hubungan antara pemimpin dan rakyat, selaras dengan aspirasi membina masyarakat Sarawak yang harmoni dan sejahtera.