Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Premier Sarawak gesa belia tingkatkan ilmu hadapi ekonomi terbuka tenaga hijau
  • PENDIDIKAN

Premier Sarawak gesa belia tingkatkan ilmu hadapi ekonomi terbuka tenaga hijau

Utusan Sarawak 2 days ago
PERASMIAN….. Dato Sri Roland Sagah Wee Inn merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak 2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, UTS, hari ini.

SIBU: Golongan muda digesa agar terus meningkatkan ilmu dan kemahiran bagi bersaing dalam ekonomi terbuka khususnya dengan tumpuan kerajaan Sarawak terhadap pembangunan tenaga hijau.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peluang pekerjaan baharu akan wujud seiring usaha kerajaan menarik pelaburan menerusi penerokaan ekonomi baharu yang meningkatkan hasil Sarawak.

“Penyelidikan dan pembangunan sumber asli termasuk perniagaan karbon telah membuka sumber ekonomi baharu yang berpotensi menggandakan pendapatan. 

“Dengan ekonomi terbuka, lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan dapat diwujudkan. Oleh itu, belia perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn ketika merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak 2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), hari ini.

Abang Johari berkata, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak bergerak ke arah kemakmuran ekonomi berasaskan data dan inovasi.

Menurutnya, Pelan Tindakan dan Pelaksanaan (AIP) PCDS 2030 merangkumi usaha memperkukuh infrastruktur, membuka peluang perniagaan serta pekerjaan dan meningkatkan kemahiran rakyat agar berpendapatan tinggi.

“Masa depan Sarawak cerah dengan potensi menjadi kuasa ekonomi di Malaysia dan rantau ini. Kestabilan politik serta perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama turut menarik minat pelabur,” ujarnya.

UNTUK RAKYAT…. Dato Sri Roland Sagah Wee Inn merakam kenangan selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak 2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, UTS, hari ini.

Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Sarawak memperuntukkan RM63 bilion bagi fasa pertama PCDS 2030.

“Pelan pelaksanaan yang cekap diperlukan agar projek dilaksana mengikut pembiayaan, masa dan spesifikasi sambil memanfaatkan nilai sumber asli Sarawak melalui model perniagaan yang berkesan.

“Pembangunan industri akan dirancang mengikut peluang huluan, pengeluaran pertengahan dan hiliran, serta potensi eksport. Justeru itu, Sarawak akan menggalakkan kerjasama sektor swasta bagi membuka peluang ini,” katanya.

Menurut Abang Johari, keunikan Sarawak terletak pada perpaduan rakyat berbilang kaum, budaya, adat, bahasa dan agama yang menjadi teras kekuatan negeri.

“Hasil kegigihan rakyat, Sarawak kini muncul sebagai wilayah berpendapatan tinggi dan destinasi pelaburan berpotensi. Kejayaan ini mencerminkan peranan rakyat dalam mengekalkan kestabilan meskipun berbilang etnik, budaya dan kepercayaan,” katanya.

Bagi aspek pendidikan, Abang Johari menggesa generasi muda menanam semangat menimba ilmu kerana Sarawak memiliki institusi bertaraf dunia.

“Menjelang 2026, Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) akan diperkenalkan dan anak-anak muda perlu merebut peluang ini demi masa depan mereka,” ujarnya.

Tambahnya, penganjuran Ekspo Pendidikan Sarawak menjadi platform kerajaan menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran, khususnya kepada pelajar luar bandar, mengenai peluang pendidikan di institusi di bawah Yayasan Sarawak.

Turut hadir ialah Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid serta yang lain.

Oleh Akun Giman

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Toh Puan Fauziah rasmi Festival Seni dan Sastera Kanak-Kanak Sarawak 2025
Next: 130 pelajar cemerlang SPM, STPM 2024 Sarikei terima sumbangan Yayasan Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.