
LIMBANG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat di Masjid Jannatal Firdaus, Bahagian Limbang, hari ini.
Solat Jumaat tersebut dipimpin oleh Imam Besar, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi. Dalam khutbah bertajuk ‘Mensyukuri Nikmat Pembangunan’, beliau menggesa umat Islam agar terus menghargai kemajuan yang dikecapi serta memperkukuh perpaduan demi kesejahteraan negeri.
Seusai menunaikan solat, Abang Johari turut meluangkan masa beramah mesra dengan para jemaah yang hadir, mencerminkan hubungan erat antara kepimpinan negeri dan rakyat di peringkat akar umbi.

Lawatan Premier Sarawak ke Limbang diadakan bersempena dengan Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang Bahagian Limbang yang dijadual berlangsung pada 11 April, 10.30 pagi di Kompleks Sukan Limbang.
Majlis berkenaan dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; serta Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.