
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak tidak menolak kemungkinan memberikan insentif atau bonus kepada petugas media pada masa akan datang, namun perkara itu bergantung kepada kedudukan kewangan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pemberian sebarang insentif kepada media memerlukan pertimbangan kewangan yang teliti dan hanya boleh dibuat jika negeri mempunyai lebihan peruntukan
“Sekiranya ada duit lebih, apa salah kongsi dengan media? Kalau tidak semasa pembentangan Belanjawan, mungkin semasa ucapan penggulungan, kamu tunggu sahaja” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya spontan oleh pemberita Utusan Sarawak mengenai kemungkinan pemberian bonus kepada media, selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kali kedua di Ibu Pejabat PBB di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan memahami peranan media dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat, namun penyaluran insentif perlu selaras dengan kemampuan kewangan semasa.
Semasa pandemik COVID-19, kerajaan Sarawak pernah memberikan insentif sekali bayar RM1,500 kepada kira-kira 500 petugas media melalui pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 3.0), sebagai pengiktirafan terhadap jasa mereka yang terus berkhidmat dalam tempoh kritikal.
Kerajaan Johor baru-baru ini mengumumkan insentif RM1,000 seorang kepada pengamal media berdaftar di bawah Kelab Media Johor, melalui dua fasa pembayaran Disember 2025 dan Februari 2026, bagi menghargai peranan media dalam menyampaikan agenda kerajaan negeri.
Langkah ini dilihat sebagai rujukan bagi beberapa pihak yang berharap Sarawak turut menyediakan bantuan atau bonus serupa, khususnya bagi petugas media yang berkhidmat sepanjang tahun dalam liputan isu kerajaan dan pembangunan negeri.
Oleh Shahrul Qaizat