
BETONG: Jambatan Batang Saribas 1 akan dibuka rasmi pada 19 Julai ini oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusa, yang juga akan melancarkan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Kami merasakan tarikh tersebut adalah paling sesuai untuk beliau melancarkan Jambatan Batang Saribas 1 yang bernilai RM375.5 juta serta BDDA.
“Jambatan sepanjang 1.55 kilometer itu menamatkan penantian rakyat selama 60 tahun untuk memiliki jambatan merentasi Batang Saribas. Kini, ia telah dibuka untuk kegunaan awam.
“BDDA pula merupakan antara sembilan agensi pembangunan wilayah di negeri ini yang ditubuhkan pada September 2022. Sudah tiba masanya untuk kami memaklumkan kepada rakyat Betong tentang kemajuan yang telah dicapai setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan dan pembentukan jawatankuasa pengelola majlis perasmian di sini, hari ini.
Douglas Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata, rakyat Betong amat menghargai usaha Premier Sarawak dalam pembinaan jambatan tersebut serta peruntukan bajet besar berjumlah RM1.5 bilion kepada BDDA.
“BDDA adalah ‘game changer’ yang sedang menuju ke arah memenuhi jangkaan rakyat untuk lebih banyak pembangunan, kemajuan dan meningkatkan kualiti hidup.
“Saya berharap orang Betong akan hadir sepenuhnya ke majlis tersebut walaupun kami menyasarkan kehadiran seramai tidak kurang daripada 5,000 orang,” ujarnya.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Dato’ Dr. Richard Rapu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Kalaka, Mohamad Duri, ADUN Krian, Friday Belik dan Residen Bahagian Betong, Richard Micheal Abunawas.
Oleh Adi Safarman