
PETRA JAYA: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) bakal memiliki asrama baru mereka pada September ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Penasihat DBNA, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, asrama tersebut akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau memaklumkan perkara itu ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.
“Tujuan utama kami melakukan kunjungan hormat ini adalah untuk menjemput beliau ke majlis makan malam ulang tahun ke-70 DBNA dan pada masa yang sama merasmikan pembukaan asrama DBNA kami yang telah dibina daripada geran yang diberikan oleh kerajaan Sarawak melalui Premier Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, pertemuan tersebut turut membincangkan beberapa perkembangan terkini berkaitan projek pembangunan di kawasan Kuching, Bau dan Serian.
Hadir sama daam kunjungan hormat berkenaan ialah Presiden DBNA Datu Ik Pahon Joyik, Timbalan Presiden DBNA Dr Charlie Ungang dan Timbalan Menteri Pengangkutan (Laut dan Sungai) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep.
Terdahulu, Premier Sarawak menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata dan Ketua Cawangan Khas (KCK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak SAC Mohd Taufik Abdullah.
-UKAS