KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi masa enam bulan untuk mengeluarkan sumber makanan haiwan menggunakan sisa kelapa sawit.
Arahan itu diberikannya kepada kementerian berkaitan kerana Sarawak kini memberi fokus kepada ekonomi kitaran dengan tumpuan terhadap pengeluaran produk sumber makanan berteraskan alam sekitar dan kitar semula.
Beliau juga mengarahkan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) untuk memulakan kajian dengan diberikan peruntukan bagi mengeluarkan sumber makanan untuk semua jenis haiwan.
“Jika sumber ini dari negeri kita sendiri, maka kita dapat mengawal harga. Misalnya, isu peningkatan harga ayam dan telur kini juga menjadi tumpuan kerajaan hingga menyebabkan Sarawak mengimport sumber makanan mencecah kos perbelanjaan sehingga berbillion ringgit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak (AUBS) 2022 di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata, semua usaha itu akan memberi kesan positif dalam pembangunan ekonomi negeri.
Beliau percaya dengan teknologi baharu, Sarawak dapat mengeluarkan produk sumber makanan haiwan sendiri dengan menggunakan sisa kelapa sawit.
“Perkara ini akan memberikan banyak kesan positif dalam pembangunan ekonomi kita, oleh kerana kita juga berkehendakkan idea-idea yang baru,”katanya.
Pada majlis itu, Premier Sarawak turut menyerahkan anugerah kepada 11 pemenang AUBS 2022.
Turut hadir, isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr. Malcom Mussen Lamoh, Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak, Datu Abang Helmi Tan Sri Ikhwan, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II (Pembangunan Usahawan, Dr. Ripin Lamat serta Penasihat MINTRED Datuk Mohd Naroden Majais.
Oleh NUR AIN OTSMAN