PRASARANA PUNCA PENGANGGURAN… Peka dengan situasi berkenaan, kerajaan negeri menyiapkan projek prasarana terutama pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo menjadi usaha penting bagi menarik pelabur dan merangsang pembangunan ekonomi negeri.
SANDAKAN: Prasarana yang masih pada tahap tidak memuaskan menyukarkan kerajaan negeri menarik pelabur besar adalah antara sebab utama pengangguran dan kemiskinan masih tinggi di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerajaan negeri peka dengan situasi berkenaan, justeru, menyiapkan projek prasarana terutama pembinaan Lebuhraya Pan Borneo menjadi usaha penting bagi menarik pelabur seterusnya merangsang pembangunan ekonomi negeri.
“Banyak pelabur jumpa kita (kerajaan negeri) untuk melabur berbilion ringgit di Sabah, tetapi tidak dapat kita merealisasikan sebab elektrik tidak baik, air kurang, jalan raya tidak baik.
“Tetapi kita tidak akan biarkan (masalah) ini berterusan. Kita akan melihat bagaimana Sabah dapat kita pacu dari segi lain, dari segi ekonomi supaya kemunduran ini dapat kita kurangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Aspirasi Kepulihan Negara peringkat negeri di sini, semalam.
Bung Moktar, yang juga Menteri Kerja Raya Negeri berkata demikian ketika mengulas mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbaharu yang menyatakan Sabah antara negeri dengan kadar pengangguran dan kemiskinan tertinggi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut memberitahu pihaknya telah meminta Kerajaan Persekutuan untuk menambah jumlah pakej kerja projek pembinaan lebuh raya itu untuk dilaksanakan tahun depan bagi mempercepatkan penyiapan Lebuhraya Pan Borneo.
“Sekiranya dapat dilaksanakan tahun depan, bermakna dalam tiga tahun, jalan ini akan terus baik dan sudah tentu kita dapat memikirkan pula untuk pembangunan sumber air dan tenaga elektrik.
Mengenai Program Aspirasi Kepulihan Negara itu, Bung Moktar berkata, kecekapan pasukan keselamatan dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengawal ketat sempadan negara berjaya membanteras masalah pengedaran dadah, khususnya di timur Sabah.
Sementara itu, ditanya mengenai langkah diambil bagi menangani isu serangan buaya di Sabah, Bung Moktar berkata, beliau sedar serangan reptilia berkenaan terhadap manusia semakin berleluasa menyebabkan kepercayaan bahawa bilangan mereka (buaya) mungkin melebihi jangkaan.
“Atau mereka mengalami kekurangan makanan dan kini keluar serta mula menyerang manusia. Kita tidak tahu. Walaupun tiada bilangan rasmi, tapi setiap malam di sepanjang Sungai Kinabatangan, kita boleh lihat beberapa pasang mata jika kita suluh ke arah kawasan itu,” katanya.
Beliau telah dimaklumkan bahawa Kementerian Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah telah menawarkan perkhidmatan untuk menangkap reptilia itu dan permohonan boleh dibuat kepada kementerian bagi membolehkan pemburu buaya tampil membantu menangkap reptilia sungai itu.
“Jadi, saya sentiasa mencari jalan menjemput atau memanggil pemburu profesional seperti di Sarawak untuk memastikan bilangan populasi buaya di Kinabatangan dapat dikurangkan,” katanya. – Bernama