SARIKEI: Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) terus memainkan peranan penting sebagai penggerak pembangunan komuniti menerusi usaha memperkukuh institusi kekeluargaan, memupuk perpaduan serta memperkasa peranan wanita dalam masyarakat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, sambutan Hari Keluarga bukan sekadar menjadi medan pertemuan, malah platform menyemai nilai kasih sayang, perpaduan dan semangat kekeluargaan yang menjadi asas kepada sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
“Saya amat berbesar hati dapat bersama-sama warga Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Sarikei pada sambutan Hari Keluarga yang penuh bermakna ini.

“Hari ini bukan sekadar satu majlis atau perhimpunan, malah merupakan suatu perayaan yang meraikan nilai kasih sayang, perpaduan dan semangat kekeluargaan yang menjadi asas kepada sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Pemanca Chan Phan Chan di sambutan Hari Keluarga Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Daerah Sarikei di sini, baru-baru ini.
Katanya, keluarga merupakan institusi terpenting dalam membentuk masyarakat yang kukuh, manakala wanita menjadi tonggak utama yang sentiasa berkorban demi kesejahteraan keluarga.
“Keluarga merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang kukuh dan sejahtera.
“Di sebalik setiap anak yang berjaya, ada doa dan pengorbanan seorang ibu yang tidak pernah putus. Di sebalik setiap keluarga yang bahagia, ada kasih sayang, kesabaran dan kecekalan seorang wanita yang sentiasa memberi tanpa mengharapkan balasan.
“Justeru, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua wanita yang hadir pada hari ini,” katanya.
Tambahnya, PPWS telah lama membuktikan bahawa wanita bukan sekadar pelengkap dalam masyarakat, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih bersatu dan harmoni.
“PPWS telah lama membuktikan bahawa wanita bukan sekadar pelengkap, mereka adalah penggerak. Saya kagum dengan semangat dan dedikasi persatuan ini dalam menyatukan kaum wanita merentas latar belakang, demi membina komuniti yang lebih kuat dan harmoni.
“Sebagai tanda sokongan saya, saya dengan sukacitanya mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 untuk aktiviti tahunan persatuan ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen berterusan dalam memperkasa agenda pembangunan wanita dan menjaga kebajikan keluarga di negeri ini.
“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, agenda pembangunan dan pemerkasaan wanita di Sarawak terus diberi keutamaan.
“Beliau sentiasa memastikan suara wanita didengari, peranan mereka diperkasa dan kebajikan keluarga Sarawak terus dipelihara.
“Komitmen dan kepimpinan beliau dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat menjadi inspirasi kepada kita semua,” katanya lagi.
Tiong Sii berharap sambutan Hari Keluarga PPWS dapat terus menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga serta masyarakat.
“Saya berharap agar sambutan Hari Keluarga ini bukan sahaja menjadi medan untuk kita bergembira, malah menjadi wadah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan kasih sayang sesama kita.
“Sesungguhnya, keluarga yang bahagia melahirkan masyarakat yang sejahtera, dan masyarakat yang sejahtera menjadi asas kepada kemajuan serta kemakmuran negeri dan negara,” katanya.
Oleh Earl Anek




