
KABONG: Peranan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) amat dihargai atas usaha berterusan memperkasakan golongan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan di negeri dan negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, sama ada dalam bidang sosial, ekonomi, sehinggalah kepada pembangunan komuniti, wanita memainkan peranan penting sebagai ejen perubahan yang positif.
Katanya, sumbangan PPWS bukan sekadar membantu golongan wanita bahkan sentiasa menyokong inisiatif pembangunan setempat.
“Saya percaya apabila wanita diberi ruang dan peluang yang saksama, keseluruhan komuniti akan turut berkembang maju,” katanya ketika berucap pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri PPWS Zon Kabong bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Kabong, semalam.
Chee Kadir berkata kerjasama antara pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan pertubuhan seperti PPWS amatlah penting untuk memastikan semua inisiatif ini dapat direalisasikan dengan berkesan.
Pada masa sama katanya, majlis anjuran PPWS Zon Kabong itu membawa makna yang cukup besar untuk mengukuhkan semangat kekitaan, keharmonian dan perpaduan dalam komuniti, tidak mengira latar belakang agama mahupun kaum.
Katanya, majlis ini merupakan platform terbaik untuk mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, di samping menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan utama negeri ini. Beliau turut berharap semangat ini akan terus dibudayakan dalam setiap program dan aktiviti PPWS yang akan datang.
Majlis Ramah Tamah Aidilfitri kali ini melibatkan enam cawangan PPWS di Zon Kabong yang terdiri daripada PPWS Kampung Baru, PPWS Kampung Hulu, PPWS Kampung Hilir, PPWS Kampung Sungai Endot, PPWS Kampung Muroh dan PPWS Kampung Alit.
Pada majlis tersebut Chee Kadir telah meluluskan geran projek khas kerajaan Sarawak kepada setiap cawangan PPWS di kawasan Kabong berjumlah RM5,000.
Turut hadir Datin Meryani Yassin, Pengerusi PPWS Zon Kabong, Norain Abdullah, Pengerusi PPWS Daerah Saratok, Rajenah Sepawi, Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Johan Rahman dan Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK), Ulin Tabur.
Oleh Adi Safarman